10 permainan tahun 2020 yang anda wajib main

By Burhanudin Zamri | January 4, 2021

Tahun baharu 2021 kini telah tiba dan ini adalah waktu yang sesuai untuk melihat kembali permainan-permainan tahun 2020. Tahun lepas merupakan tahun yang sangat menyeronokkan untuk para peminat permainan video kerana terdapat banyak permainan bagus yang dilancarkan.

Jika terdapat mana-mana permainan dalam artikel ini yang anda belum cuba, penulis mengesyorkan untuk sentiasa mencari jualan istimewa di mana-mana platform PC atau konsol seperti Steam dan PlayStation Store. Ini membolehkan anda untuk membeli permainan-permainan ini pada harga diskaun.

 

Hades

Antara semua permainan yang penulis main pada tahun lepas, Hades ialah permainan yang paling menyeronokkan. Cara permainannya yang pantas dan mendebarkan sangat mudah dipelajari. Ia merupakan permainan indie, oleh itu ia boleh dibeli pada harga yang sangat murah berbanding permainan AAA tetapi ia mempunyai kualiti setanding permainan-permainan AAA.

Baca ulasan kami tentang Hades di sini.

 

DOOM Eternal

Para peminat permainan first-person shooter (FPS) wajib mencuba DOOM Eternal. Semua aspek-aspek yang ditonjolkan dalam DOOM (2016) dinaik taraf dalam permainan ini. Ia mempunyai permainan yang lebih mengasyikkan. Runut bunyi permainan ini penuh dengan lagu heavy metal yang membuatkan permainan menjadi lebih memuaskan.

 

Ghost of Tsushima

Grafik yang sangat cantik dan permainan samurai yang amat memuaskan. Itulah yang ditawarkan oleh Ghost of Tsushima. Dunia terbuka permainan ini mempunyai banyak lokasi cantik berdasarkan elemen alam sekitar Jepun dan jalan ceritanya juga agak menarik.

Baca ulasan penuh kami tentang Ghost of Tsushima di sini.

 

No Straight Roads

Para peminat permainan video di Malaysia patut rasa bangga dengan No Straight Roads, salah satu permainan buatan Malaysia yang dilancarkan di seluruh dunia. Permainan aksi ini menggabungkan elemen muzik dan irama untuk menjadikannya sebuah pengalaman yang unik.

Baca ulasan penuh kami tentang No Straight Roads di sini.

 

Animal Crossing: New Horizons

Ramai pemain menobatkan Animal Crossing: New Horizons sebagai permainan mustahak tahun 2020 kerana persekitarannya yang menceriakan memberi semangat kepada ramai orang untuk kekal bahagia ketika penularan pandemik COVID-19.

 

Persona 5 Royal

Terdapat banyak keluaran baharu dalam genre Japanese role-playing game (JRPG) dalam tahun 2020 tetapi ramai peminat JRPG menanggap Persona 5 Royal JRPG terhebat tahun lepas. Ia mengandungi semua perkara hebat Persona 5 ditambahkan dengan beberapa kandungan baharu yang menarik seperti watak baharu Kasumi.

 

Final Fantasy VII Remake

Jika anda lebih menggemari permainan JRPG yang penuh dengan aksi, Final Fantasy VII Remake ialah pilihan yang lebih sesuai. Mereka yang telah main versi asal permainan ini memang patut mencuba versi remake kerana kualiti grafik dan gaya permainan yang lebih moden membuatkan permainan ini jauh lebih hebat.

Baca ulasan penuh kami di sini.

 

Fall Guys: Ultimate Knockout

Genre battle royale kini tepu dengan permainan penembakan tetapi Media Molecule menemui satu cara untuk memperkenalkan sesuatu yang baharu: permainan battle royale bertemakan laluan rintangan. Itulah rahsia kejayaan Fall Guys: Ultimate Knockout, salah satu permainan multi-pemain yang paling menyeronokkan pada waktu ini.

 

Half-Life: Alyx

Kepada anda yang mempunyai set kepala VR, anda memang wajib mencuba Half-Life: Alyx. Ramai pemilik set kepala VR menyatakan bahawa ia adalah permainan VR paling hebat setakat ini. Terdapat banyak interaksi dalam permainan ini yang tidak boleh dinikmati dengan alat kawalan biasa.

 

The Last of Us Part II

Naughty Dog ialah studio yang terkenal dengan permainan-permainan eksklusif PlayStation yang hebat. Antara semua permainan mereka, The Last of Us Part II boleh dikatakan sebagai karya teragung studio tersebut. Semua aspek permainan ini dari grafik dan animasi hingga jalan cerita dilakukan dengan sempurna.