3 Fakta Menarik Korang Patut Tahu Tentang Black Mirror: Bandersnatch

By Intan Mawarni | January 2, 2019

Black Mirror: Bandersnatch adalah sebuah filem interaktif keluaran terbaru Netflix yang membawa penonton ke zaman 1980an untuk melihat seorang pencipta game membangunkan sebuah game yang diinspirasikan oleh novel Bandersnatch.

Apa yang menarik tentang filem ini adalah korang berpeluang untuk mengarah cerita tersendiri melalui pilihan yang tersedia dan mengakibatkan korang boleh melihat pelbagai jenis pengakhiran mengikut pilihan korang. Ini membangkitkan seribu satu persoalan oleh golongan penonton: Adakah Bandersnatch sebuah filem atau sebuah game? Haa… itulah magik media interaktif.

Kelainan interaktiviti dibawakan dalam tayangan Bandersnatch ini membuka mata orang terhadap penceritaan interaktif yang sebenarnya telah lama bermula dari sebuah kitab sehingga menjadi prinsip utama dalam hampir kebanyakkan game. Berikut adalah tiga fakta menarik korang perlu tahu tentang Bandersnatch.

HATI-HATI: Terdapat spoiler tentang filem Black Mirror: Bandersnatch selepas gambar ini

1. Main Nohzdyve di dunia sebenar

Semasa di permulaan filem Bandersnatch, protagonis utama, Stefan berjumpa dengan Colin Ritman, seorang pembangun game di syarikat Tuckersoft yang sedang sibuk membangunkan ciptaan terbarunya iaitu dipanggil sebagai Nohzdyve menggunakan ZX Spectrum.

ZX Spectrum merupakan PC komersial pertama dan sangat popular di United Kingdom pada sekitar tahun 1980an. Oleh itu, ZX Spectrum adalah platform terkenal yang digunakan untuk game pada ketika itu dan juga membantu pencipta Black Mirror, Charlie Brooker memulakan kariernya sebagai penulis game.

Nohzdyve bukan hanya terhad kepada tontonan sahaja, malah korang berpeluang untuk cuba main game itu sendiri! Hal ini didedahkan oleh pembangun game, Matt Wescott yang bertanggungjawab untuk menghasilkan Nohzdyve dalam filem ini sebagai satu ‘easter egg’ (bermakna mesej atau gurauan tersembunyi yang diguna meluas dalam media).

Menurut Wescott, terdapat satu babak selepas kredit filem yang menunjukkan protagonis mendengar satu pita bertanda ‘Bandersnatch Demo’ yang mengeluarkan bunyi elektronik nyaring.

Apabila bunyi nyaring itu dirakam dan dimuat masuk ke dalam EightyOne iaitu sebuah emulator untuk ZX Spectrum, rakaman audio itu menunjukkan kod QR terpampang bersama dengan efek rosak pita VHS yang mengikut tema filem ini seperti korang boleh lihat di bawah:

Kod QR ini juga memberi laluan kepada korang untuk lawat laman sesawang rasmi Tuckersoft yang dipenuhi dengan easter egg daripada siri Black Mirror. Bagi yang teringin nak main Nohzdyve, korang tak perlu susah-susah cari ZX Spectrum. Korang boleh download Nohzdyve mengikut pautan ini dan korang akan menerima arahan untuk main game ini menggunakan emulator EightyOne atau Speccy.

2. Buat penceritaan interaktif tersendiri menggunakan Twine

Filem Black Mirror: Bandersnatch boleh memakan masa lebih daripada 4 jam berbanding dengan durasi filem biasa 1 jam setengah ke 2 jam kerana interaktiviti yang membuatkan korang mahu cuba dan cuba main lagi sehinggalah korang dapat tahu semua pengakhiran. Percayalah, ada orang sudah siapkan carta aliran berselirat untuk kesemua pengakhiran Bandersnatch. Terima kasih, Internet.

Kredit kepada u/alpine- di Reddit

Melihat kepada carta aliran yang penuh dengan ranting yang bercabang ke satu pilihan ke pilihan yang lain di atas, Brooker dan penerbit eksekutif Annabel Jones harus memikirkan jalan baru untuk menghasilkan skrip yang lain daripada skrip rancangan televisyen. Untuk menjadikan Bandersnatch sebagai satu media interaktif, Brooker mengajar diri sendiri untuk gunakan Twine iaitu sebuah perisian sumber terbuka percuma khas untuk penceritaan interaktif yang lazimnya digunakan oleh pembangun game.

Brooker berkata kepada Wired bahawa Twine merupakan satu-satunya platform yang membolehkannya untuk mengurus semua pilihan yang bersangkut paut antara satu sama lain dalam kisah Bandersnatch. Selain itu, gabungan Twine, Scrivener, Final Draft dan pelbagai aneka Notepad membantu dia untuk menghasilkan filem ini.

3. Membuka pandangan golongan bukan pemain untuk merasai penceritaan interaktif

Pelancaran Black Mirror: Bandersnatch yang menjadi bualan hangat di media sosial kebelakangan ini adalah satu bukti bahawa penceritaan interaktif boleh pergi jauh dalam industri hiburan media. Malahan, ini membuka ruang baru kepada semua pencipta kreatif seperti pengarah, penerbit, pelakon, pereka dan banyak lagi untuk memahami keunikan elemen interaktif untuk disuntik ke dalam sesebuah filem, TV, game dan juga buku dengan lebih teliti.

Kalau korang minat dengan gaya filem interaktif Bandersnatch ini, Netflix sudah lama bereksperimen dengan gaya ini bermula dari rancangan TV fokus kepada kanak-kanak seperti Minecraft: Story Mode dan Puss in Boots: Trapped in Epic Tale. Untuk bahagian game pula, gaya ini sudah lama diterokai sejak dari latar masa yang sama dalam filem ini. Antara game bertemakan filem interaktif korang harus cuba adalah Detroit: Become Human, Life is Strange serta semua game yang dihasilkan oleh Telltale Games seperti The Walking Dead, The Wolf Among Us dan Tales from the Borderlands.