5 Sebab Kenapa Bermain Video Game Baik Untuk Kesihatan

By Intan Mawarni | January 20, 2020

Korang mesti sudah begitu lali dengan cemuhan bermain game membuatkan korang ketagih, buang masa dan duit serta tidak mendatangkan apa-apa faedah langsung.

Keburukan aktiviti bermain video game masih  meniti dari bibir ke bibir dalam kalangan masyarakat sehinggakan Persatuan Kesihatan Dunia (WHO) klasifikasikan ketagihan bermain video game sebagai satu penyakit mental dan sering dikaitkan dengan keganasan melampau.

Namun, tohmahan bermain video game membuatkan pemain menjadi lebih ganas sudah lama disangkal dan tidak sampai 1% populasi dunia yang mengalami masalah ketagihan video game.

Malahan, bermain video game sebenarnya mendatangkan kebaikan berbanding keburukan menurut banyak kajian. Inilah 5 sebab utama kenapa video game bagus untuk korang dari segi kesihatan fizikal dan mental.

 

1. Video game boleh melambatkan proses penuaan

Bagi orang mahu sentiasa kelihatan awet muda, mungkin korang boleh selitkan sesi bermain video game pula.

Melalui kajian dijalankan di University of Iowa, Amerika Syarikat, seramai 681 individu sihat berusia 50 tahun ke atas bermain game direka khas bagi kajian selama 10 jam boleh melambatkan proses kemerosotan kebolehan kognitif sehingga kira-kira 7 tahun dalam sesetengah kes.

Antara game yang boleh mengasah keupayaan otak korang adalah game bertemakan real-time strategy (RTS) dan mobile online battle arena (MOBA) seperti Dota 2, Mobile Legends dan banyak lagi.

 

2. Video game boleh menajamkan penglihatan mata

Menurut satu kajian University of Rochester, bermain game aksi mampu meningkatan daya penglihatan dalam tugas seharian seperti membaca dan memandu pada waktu malam.

Kebolehan ini dipanggil sebagai fungsi sensitif kontras membolehkan pemain untuk membezakan perubahan kecil dalam pelbagai tona warna kelam meskipun berlatarbelakangkan warna cerah. Fungsi sensitif kontras ini juga semakin hilang apabila usia kita meningkat.

Bermain game aksi pantas shoot em’ up seperti Call of Duty, Battlefield atau Overwatch melatih otak manusia untuk membeza dan menganalisa banyak maklumat di depan mata kita dalam satu masa sama sekaligus meningkatkan daya penglihatan pemain.

 

3. Video game boleh melegakan rasa sakit kronik

Main game lama-lama sampai lupa rasa sakit.

Kajian dijalankan oleh American Pain Society mendapati game virtual reality (VR) dapat mengurangkan rasa sakit disebabkan prosedur pembedahan atau penghidap penyakit kronik. Lebih-lebih lagi, mereka yang menerima rawatan luka terbakar melaporkan pesakit ini kurang merasa sakit sebanyak 30 ke 50% ketika bermain game VR.

Antara sebab utama kelegaan pantas ini adalah kerana aktiviti bermain game melepaskan satu hormon dipanggil sebagai endorphin ke otak iaitu sebatian kimia yang selalu berkait-paut dengan rasa kegembiraan dan mengurangkan rasa ketidakselesaan.

 

4. Video game online boleh tingkatkan kebolehan bersosial

Kebanyakkan orang fikir bermain video game membuatkan seseorang tidak bergaul atau dipanggil sebagai anti-sosial kerana korang lebih suka duduk di rumah berbanding keluar bergaul-gaul dengan orang luar.

Sebaliknya, main game online atau game sosial sebenarnya membuatkan pemain lebih senang bersosial dengan orang lain.

Pada tahun 2009, kajian melihatkan perbandingan antara pelajar sekolah Singapura, kanak-kanak Jepun dan pelajar kolej Amerika Syarikat dan dapatan kajian menunjukkan game sosial dan online melahirkan individu ramah tamah.

 

5. Video game boleh mengurangkan tekanan perasaan

Walaupun ketagihan video game diklasifikasikan sebagai satu penyakit mental, bermain video game sebenarnya boleh dijadikan sebagai satu penawar stres jauh lebih efektif berbanding sesi kaunseling biasa.

Pada tahun 2012, penyelidik di New Zealand menjalankan kajian melibatkan 168 remaja kira-kira berusia 15 tahun yang mana separuh daripada mereka diasingkan untuk menerima sesi kaunseling manakala separuh lagi main game fantasi SPARX yang membolehkan mereka untuk reka avatar tersendiri untuk “mengeluarkan pemikiran negatif”.

Setiap tahap dalam game itu mengajar pemain tentang fakta asas tentang kemurungan, strategi untuk menangani tekanan dan teknik mencari ketenangan.

Dapatan kajian SPARX juga sangat menggalakkan. Kira-kira 44% pemain SPARX sembuh dari kemurungan berbanding hanya 26% daripada mereka yang sembuh melalui sesi kaunseling.

Mengikut kajian-kajian saintifik di atas, semangat #HealthyGaming menyumbang banyak kebaikkan kepada pemain. Tambahan pula, minat bermain video game boleh melahirkan pemain profesional sehingga meraih jutaan ringgit dalam pertandingan e-sukan dan ada juga yang mahu berkecimpung dalam karier pembangunan game.