Star Wars, Batman, Thanos & Overwatch ‘Hidup’ Sebagai Wayang Kulit

By Intan Mawarni | February 8, 2019

Seni wayang kulit mungkin tidak dikenali lagi dalam golongan belia tetapi ia tidak lapuk ditelan zaman apabila seorang artis menghasilkan wayang kulit tradisional bertemu dengan budaya pop moden.

Fusion Wayang Kulit menggabungkan ikon-ikon budaya pop ke dalam lipatan wayang kulit seperti Star Wars, adiwira DC seperti Batman & Aquaman, penyanyi Ed Sheeran dan baru-baru ini, Lucio dari permainan video, Overwatch.

Hasil kreatif yang diolah oleh pengasas Fusion Wayang Kulit, Tintoy Chuo yang berusaha meniup nafas baru ke dalam seni wayang kulit untuk membuka mata masyarakat umum sambil memelihara tradisi turun temurun pementasan patung bayang sebenar bersama Tok Dalang, Pak Dain Othman.

Wayang kulit bertemu budaya pop dihasilkan oleh Tintoy Chuo di gambar kanan sambil memegang patung wayang kulit Predator

Permulaan hikayat Fusion Wayang Kulit

Secara asalnya, Fusion Wayang Kulit adalah sekadar projek seni untuk sebuah pameran di Publika. Tanpa disangka-sangka, Tintoy menerima banyak maklumbalas dan galakan positif oleh warga tempatan dan antarabangsa yang mahu melihat lebih banyak lagi tentang wayang kulit budaya pop ini.

Oleh sebab itu, Tintoy bertemu dengan Pak Dain iaitu antara Tok Dalang ke-13 diiktiraf oleh Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan untuk ke tahap lebih tinggi seperti teater persembahan wayang kulit menggunakan watak-watak terkenal budaya pop.

Proses pembuatan wayang kulit

Wayang kulit Lucio mendapat sentuhan tempatan terutama di bahagian kakinya dihiasi dengan kain sarung. Kredit: Tintoy Chuo

Apabila ditanyakan tentang pembikinan wayang kulit, proses ini boleh mengambil masa kira-kira sebulan. Tintoy berkata, “Satu watak wayang kulit secara idealnya akan dihasilkan dalam masa sebulan kerana kami harus memikirkan rekaan yang menepati piawai Pak Dain supaya mengikut format wayang kulit sebenar. Kemudian, kami lukis rekaan kulit wayang dan memotong serta menebuk mengikut rekaan ditetapkan yang lazimnya diperbuat daripada kulit lembu.”

“Selepas itu, setiap wayang kulit ini siap diwarnakan menggunakan pen marker dan dakwat Artline yang menghasilkan efek lut cahaya. Apabila wayang kulit ini dipentaskan, kita boleh lihat biasan cahaya berwarna-warni. Stail wayang kulit Malaysia mempamerkan pelbagai jenis warna iaitu menjadikan wayang kulit kita lain daripada yang lain.”

Mengikut tradisi asal, beliau menjelaskan kulit lembu digunakan bagi memastikan kualiti wayang kulit bertahan lama. “Kalau anda simpan wayang kulit ini dengan betul, wayang kulit ini boleh bertahan selama 100 tahun,” tambahnya.

Wayang kulit untuk tarik perhatian golongan belia

Tintoy menghadiahi wayang kulit Lucio kepada Jonny Cruz ketika berada di Pop Con 2019

“Objektif utama saya ialah untuk mendapatkan perhatian anak muda. Jika saya cuma mempersembahkan wayang kulit tradisional sahaja, ia agak susah untuk menarik perhatian mereka melainkan seni ini sudah lama wujud sejak beratus-ratus tahun dahulu.”

“Untuk memartabatkan seni wayang kulit ke alaf baru, ia lebih bagus meletakkan perkara yang lebih disukai oleh golongan belia seperti pengolahan karakter Star Wars, Batman, adiwira atau karakter anime bersama wayang kulit. Ini mendorong mereka untuk mengetahui dan mengenali lebih dekat tentang seni tradisional ini,” luah Tintoy.

Interpretasi wayang kulit moden turut ‘hidup’ dalam video muzik lagu Happier yang didendangkan oleh Ed Sheeran. Malah, wayang kulit ini dihasilkan bersama kolaborasi pelbagai klien dan diberikan sebagai hadiah seperti kepada Jonny Cruz, pelakon suara Lúcio dari Overwatch. Selain itu, Tintoy juga seorang yang pakar dalam seni gunting kertas iaitu menghadiahkan rekaan potongan kertas filem Alita: Battle Angel yang diinspirasikan daripada rekaan potongan kertas Cina kepada pengarah filem, Robert Rodriguez dan pelakon utama, Rosa Salazar

Peperangan Bintang: A Star Wars Story

Pementasan wayang kulit, Peperangan Bintang menampilkan Sangkala Vedeh (Darth Vader) dan Puteri Leia (Princess Leia Organa) diinspirasikan oleh filem sains fiksyen terkenal, Star Wars bukan sahaja menambat hati orang tempatan dan mengharumkan negara Malaysia di persada antarabangsa. Sejak dari tahun 2013, Peperangan Bintang ini telah dipersembahkan ke pelbagai negara seperti China, Jerman, Austria dan Singapura.

Jelas Tintoy, satu pementasan kebiasaanya berdurasi 30 minit adalah gabungan wayang kulit Kelantan yang dipersembahkan dan disuarakan oleh Pak Dain dengan alunan muzik tradisional terdiri dari sebatang serunai, sepasang gedombak, sepasang geduk, sepasang gong (tetawak), sepasang kesi, sebiji mong dan canang serta dipacu aspek digital seperti imej janaan komputer (CGI) bagi menghasilkan persembahan epik. 

Rekaan unik wayang kulit oleh Fusion Wayang Kulit turut menggondol pelbagai anugerah dan penghargaan seperti anugerah Augustman’s Men Of The Year, anugerah Merdeka Thumb-up Challenge, anugerah Global Pioneer X Laureate dan baru sahaja layak ke peringkat akhir rancangan televisyen, THE PUPPET di Guangdong, China.  

Untuk mengikuti perkembangan Fusion Wayang Kulit, anda boleh melayari laman Facebook rasmi mereka di sini.

Daftar sekarang untuk kejohanan e-sukan kampus terbesar di Malaysia! Ada game Mobile Legends, PES 2019 dan Dota 2, khas untuk pelajar universiti sahaja! 

KLIK LINK INI UNTUK MENDAFTAR.

Info lanjut, layari laman web ini dan Facebook kami.