Kisah Cinta Paling Romantik Dalam Permainan Video

By Intan Mawarni | February 13, 2019

Bila kita berfikir satu perkataan tentang video game, ramai orang menyangka game perlulah ada “aksi mendebarkan”, “lucu”, ganas dan yang paling penting, “menyeronokkan”. Namun, pernahkah perkataan “romantik” terlintas di minda?

Ini bukan bermaksud game yang penuh aksi tanpa momen-momen romantik adalah game tiada tarikan. Ya, ia lebih seronok untuk tembak-menembak antara satu sama lain dan memusnahkan pengkalan pemain lain. Di sebalik konflik ini, tersingkap putik-putik cinta yang berkembang mekar. Sempena Hari Valentine, berikut adalah kisah penyatuan cinta teragung yang pernah dipersembahkan dalam game.

Squall dan Rinoa (Final Fantasy VIII)

Squall dan Rinoa berdansa bersama-sama

Squall Leonhart bukanlah seorang remaja mudah untuk didampingi. Pada pengenalan babak game, dia seorang pendiam dan cenderung memendam perasaan daripada meluahkan kepada orang lain. Namun, timbulnya perasaan cinta apabila Squall bertemu bersama Rinoa Heartilly buat kali pertama di majlis tari menari sempena hari graduasi SeeD di Balamb Garden.

Walaupun Rinoa sedang berpacaran dengan musuh ketat, Seifer ketika itu, mereka ditemukan semula ketika menjalani misi dan kian rapat sejak dari itu lalu mengubah Squall menjadi seorang ketua lebih baik sepanjang game ini. Saat mereka berdua apabila Rinoa berkongsi perasaan terbuku dalam hati sambil dalam dakapan Squall semasa berlayar dalam kapal angkasa Ragnarok merupakan babak paling romantik dalam siri Final Fantasy. Kisah cinta teragung ini telah berusia dua dekad dan baru sahaja menyambut ulangtahun ke-20 pada 11 Februari lepas!

Nathan dan Elena (Uncharted)

Nathan Drake dan Elena Fisher kongsi saat manis dalam Uncharted 4: A Thief’s End

Ramai orang melihat Uncharted sebagai sebuah game mengikuti pengembaraan pencarian harta karun ala Indiana Jones bersama Nathan Drake tanpa melihat individu yang membentuk keperibadiannya, Elena Fisher, seorang wartawan cekap dalam tugasnya. Pada mulanya, Elena kurang gemar dengan perangai Nathan yang suka lari dari masalah. Walaupun begitu, mereka tetap menyayangi sama satu lain dan mereka mendirikan rumahtangga semasa Uncharted 3: Drake’s Deception tetapi mereka berenggang buat sementara waktu.

Selepas apa yang terjadi dalam Uncharted 3, jodoh mereka masih kuat dalam Uncharted 4: A Thief’s End tetapi goyah apabila cita-cita menggunung Nathan untuk membebaskan abangnya, Sam yang tiba-tiba muncul dalam hidup Nathan & Elena setelah Sam lama menghilangkan diri. Meskipun perbuatan Nathan itu hampir meretakkkan rumahtangga mereka, Elena masih lagi mempercayai Nathan dan terus berkongsi kebahagiaan sehingga ke anak cucu.

Leon dan Ada (Resident Evil)

Leon & Ada memburu G-Virus bersama-sama dalam Resident Evil 2 Remake

Di mana Leon pergi, disitulah Ada. Hubungan antara Leon S. Kennedy dan Ada Wong agak sulit untuk diceritakan. Mereka mula bertemu dalam Resident Evil 2 ketika Leon baru sahaja memulakan tugasnya sebagai polis di Racoon City ketika ditimpa apokalips zombi. Dalam percubaan untuk menyelamatkan diri daripada dimamah zombi, Leon sering diselamatkan oleh Ada yang memperkenalkan diri sebagai ejen FBI.

Leon berniat baik menolong Ada mencari G-Virus dengan alasan untuk menumpaskan Umbrella Corporation tanpa mengetahui Ada cumalah askar diupah untuk menjual G-Virus dengan harga tertinggi. Meskipun Ada sering timbul dan hilang di pandangan mata Leon, Ada selalu muncul setiap kali Leon menjadi bintang utama dalam siri Resident Evil dari Resident Evil 2 sehinggalah Resident Evil 6. Yalah, kan. Kalau jodoh tak ke mana?

Johnny dan River (To The Moon)

Jatuh bangun perkahwinan Johnny dan River tertulis di bintang dan bulan

To The Moon adalah satu bukti bahawa game boleh menyampaikan perasaan cinta melankolik dalam perspektif orang ketiga. Ia menampilkan seorang lelaki tua bernama Johnny yang teringin sangat untuk naik ke bulan sebelum dia menghembuskan nafas terakhir. Namun, ada satu perkara yang tidak dapat dijelaskan. Johnny tidak tahu dan tidak ingat kenapa dia mahu berhijrah ke bulan.

Dalam game ini, korang bermain sebagai doktor cuba untuk menanam memori penting kepada Johnny supaya dia ingat. Semakin korang menyelidik memori dengan mendalam, korang akan menyaksikan lembaran kisah hidup Johnny bersama isterinya yang telah meninggal dunia, River. Pemain akan melihat jatuh bangun perkahwinan mereka yang penuh dengan cabaran liku dan ia meninggalkan impak besar kepada keseluruhan naratif game ini.

Tambahan: Hampir semua game BioWare

Mass Effect

Sebelum Anthem keluar pada 22 Februari ini (dukacita saya maklumkan Anthem tidak akan ada perhubungan romantik), pembangun BioWare memang terkenal dengan RPG (role-playing game) seperti Star Wars: Knights of The Old Republic, Mass Effect dan Dragon Age yang mengandungi kisah-kisah cinta bermakna yang meninggalkan kesan tragis dan kegembiraan. Yang menarik sekali, korang boleh memutuskan hala tuju perhubungan romantis antara pemain dan watak berkenaan dengan melakukan misi peribadi dan pemilihan dialog.

Dragon Age: Inquisition

Oleh kerana semua kisah cinta dalam game BioWare terletak di tangan pemain, ia agak sukar bagi saya untuk memilih kisah cinta yang paling romantis kerana ia bergantung atas intepretasi pemain tak kisahlah untuk Tali, Cassandra, Miranda, Solas, Alistair dan sebagainya. Kalau saya harus pilih, saya pilih Cullen dan Inquisitor dalam Dragon Age: Inquisition untuk kisah romantik kegemaran saya manakala untuk Mass Effect ialah… Garrus dan Shephard.

Apakah kisah romantik kegemaran korang dalam game? Kongsikan bersama kami di Facebook.

Daftar sekarang untuk kejohanan e-sukan kampus terbesar di Malaysia! Ada game Mobile Legends, PES 2019 dan Dota 2, khas untuk pelajar universiti sahaja! 

KLIK LINK INI UNTUK MENDAFTAR.

Info lanjut, layari laman web ini dan Facebook kami.