Anthem: Patch Hari Pertama Akan Baiki Masalah-Masalah Besar, Kata BioWare

By Intan Mawarni | February 20, 2019

KEMASKINI: Patch hari pertama Anthem yang sepatutnya tiba pada hari pertama pelancaran game boleh dimuat turun sekarang (21 Februari 2019). Sila rujuk pos Reddit ini untuk nota patch penuh.

Anthem akan menerima patch pada hari pelancaran rasmi, 22 Februari 2019 untuk memperbaiki isu kecil, sederhana dan besar dialami oleh pemain mendapat akses awal (Early Access) game penuh khas kepada pelanggan EA Origin Access Premier di PC pada 15 Februari lepas.

Bagi mereka yang terpinga-pinga, ya, Anthem boleh dikatakan sudah dilancarkan tetapi kategori langganan seperti EA Access dan EA Origin Access Basic hanya boleh main Early Access selama 10 jam sahaja untuk pengguna PC dan Xbox One.

Namun, ada hikmah juga di sebalik Early Access ini kerana rata-rata pemain telah merasa Early Access melaporkan pelbagai masalah yang dihadapi seperti masa loading yang teramatlah lama dan loot tidak wujud selepas membuka chest. Saya ada menyentuh tentang perkara ini semasa pengalaman saya bermain demo pada awal Februari. 

Kemasukan skrin loading mengundang kemarahan kepada ramai pemain kerana ia tercetus di tingkap waktu yang salah iaitu semasa seluruh pasukan sudah pun berada di kawasan misi tetapi sesetengah pemain masih lagi ‘disedut’ masuk ke dalam skrin loading meskipun keseluruhan skuad itu berada di depan mata pemain seperti yang diperlihatkan oleh seorang pemain di Reddit.

BioWare juga akan menukar bagaimana loot diberikan dalam misi Stronghold. Selain daripada meletakkan koleksi loot selepas misi Stronghold untuk diselesaikan iaitu agak menyusahkan bagi pendapat saya, semua loot akan muncul sejurus setelah pemain menjatuhkan bos terakhir. Kalau korang mati pun, semua loot terus dikutip secara automatik. Ini barulah afdal.

Selain itu, beberapa perkara menarik perhatian saya dalam patch yang akan mengemaskini Anthem pada tarikh pelancaran rasmi. Antaranya adalah salah satu Javelin, Colossus boleh gunakan perisai dan revive dalam satu masa yang sama dan status meter Ultimate tidak tepat akan diperbaiki. Korang boleh baca kesemua perkara patch hari pertama bersama komen pembangun BioWare di sini.

Sebelum terbang masuk ke Anthem, inilah apa korang perlu tahu tentang game looter shooter dibangunkan oleh BioWare ini!

Anthem akan rasmi dilancarkan untuk semua pemain pada 22 Februari 2019 di PC, PS4 dan Xbox One.