Anthem Tutup PS4 Secara Paksa, EA Sedang Siasat Punca Masalah Meranapkan Sistem Konsol

By Intan Mawarni | March 5, 2019

Terdapat beberapa pemain telah mengadu Anthem tiba-tiba sahaja tertutup semasa tengah syok main di PS4 malah yang lebih teruk, Anthem menyebabkan konsol kena ‘bricked‘ bermakna ia tidak boleh digunakan lagi.

Sepanjang minggu ini, banyak laporan telah disuarakan oleh pemain di semua laman sosial media berkenaan kondisi membimbangkan ini.

Ada pemain juga mengalami ‘crash’ yang tutup seluruh sistem PS4 ketika bermain Anthem tanpa sebarang amaran (bunyi beep dan sebagainya). Apabila pemain dapat buka konsol semula, mereka mendapat mesej PS4 itu tidak ditutup secara betul terpampang di skrin (seperti palam tercabut semasa konsol tengah digunakan).

Seorang pemain Anthem mengatakan bahawa sistem PS4 miliknya terus di-‘brick’ bermakna konsol tidak dapat diselamatkan lagi. Satu lagi komen dalam bebenang Reddit mendedahkan pemain yang rela menggantikan konsol PS4 lama yang boleh bermain game lain dengan mudah tetapi mengalami masalah ketika bermain Anthem sehinggakan dia sanggup membeli konsol baru demi bermain Anthem. 

Masalah ini bukan sahaja dikesan di PS4 tetapi turut dialami oleh pengguna Xbox One dan PC. Seorang pengguna Xbox One menceritakan pengalamannya ketika bermain Anthem tersekat dalam ekspedisi dan dia kena ‘hard reset’ konsolnya berkali-kali serta menyebabkan akaun Xbox terkunci kerana dia selalu log masuk dan log keluar dari akaun lalu menghalang dia untuk bermain game lain. 

Banyak laporan sama diluahkan oleh pemain Anthem membanjiri forum sokongan teknikal EA rasmi. Pada permulaan masalah ini muncul, Sony berusaha untuk bayar balik duit bagi beberapa pemain Anthem tetapi malangnya, bukan semua pemain dibayar balik.

Menurut laman Twitter, EA kini telah ambil perhatian tentang perkara ini dan sedang dalam penyiasatan untuk cari punca sebenar permasalahan Anthem.