Revenants of Ruins Adalah Game MOBA Buatan Malaysia Seakan Dota 2 & Mobile Legends

By Intan Mawarni | April 13, 2019

— KEMASKINI (3/5/2019) —

Pembangun, Ridzwan Zulkifli telah melancarkan saluran crowdfunding bagi membangunkan demo pertama Revenants of Ruins. Bagi yang berminat dan mahu menyokong projek ini, sila klik di sini.

Berita asal:

Revenants of Ruins adalah game dengan campuran multiplayer online battle arena (MOBA) dan role-playing game (RPG) dihasilkan oleh anak Malaysia yang diinspirasikan oleh Dota 2 dan Mobile Legends.

Dengan 7 tahun pengalaman sebagai pembangun, Ridzwan Zulkifli mula membangunkan Revenants of Ruins berasal daripada mod (pengubahsuaian) Warcraft 3 dan mula berkongsi kepada komuniti Warcraft 3 melalui laman sesawang, hiveworkshop pada tahun 2015. 

Komen dan respons yang diberikan untuk Revenants of Ruins amat memberangsangkan lalu mendorong Ridzwan untuk terus mempertingkatkan game ini.

Revenants of Ruins adalah gabungan MOBA dan RPG dengan keunikan tersendiri terutama dari segi peta dan cara permainan. Pemain akan mengambil peranan sebagai hero dengan kuasa tersendiri bergabung sehingga 4 pemain lain untuk menyerang raksasa besar bernama The Revenant yang tinggal di sebuah tokong yang berada di tengah-tengah peta.

Rekaan karakter hero dalam Revenants of Ruins

Peta untuk Revenants of Ruins agak menarik kerana ia agak berbeza dengan game MOBA lain seperti Mobile Legends dan League of Legends. Tokong The Revenant itu bertempat di tengah peta bagaikan satu arena gladiator yang mana korang mengelilingi kawasan itu untuk mengalahkan gelombang musuh-musuh AI (minion) menyerupai rangka manusia sebelum tembus ke dalam tokong berkenaan.

Korang juga dapat menakluki minion yang berkeliaran secara memusnahkan tower seperti ditonjolkan di bawah::

Terdapat 24 hero yang disediakan terbahagi kepada tahap kualiti berbeza seperti serangan, kuasa magik, kelajuan dan sebagainya. Menurut Ridwan, kuantiti hero ini akan ditambah masuk ke dalam game dalam semasa ke semasa. 

Ridzwan sedar akan game ciptaannya banyak mengambil aset-aset karakter dan latar belakang mirip rupa Warcraft 3 dan Dota 2. Dia berkongsi kepada MyGameOn bahawa rancangan utama dia adalah untuk bangunkan animasi, rekaan seni karakter dan seni persekitaran yang unik kepada Revenants of Ruins. 

Cara untuk bermain Revenants of Ruins

Ridzwan dan juga 4 ahli pasukannya, Ninie, Chito, Daniel dan Firdaus sedang giat membangunkan demo terulung untuk Revenants of Ruins bagi mendapat sokongan dan komen yang membangun untuk menghasilkan game penuh dijangka akan disiap dalam tempoh 4 tahun akan datang dan dikeluarkan untuk PC.

Bagi mereka yang ingin membantu usaha mereka dan mengetahui lebih lanjut tentang Revenants of Ruins, korang boleh layari laman Facebook rasmi mereka dan sertai perbualan di saluran Discord.