‘Saya Akan Buktikan Malaysia Boleh!’ – Luqman ‘Fenrir’ Haziq Bawa Harapan Negara Di Kejohanan FIFA eWorld Cup

By Hazril Md Nor | December 15, 2017

Tanyalah sesiapa je yang suka compete dalam game, mesti ada keinginan nak berjaya sampai ke peringkat antarabangsa. Serupa hasrat besar pemain bola, pemain bola sepak digital juga apa kurangnya.

Kalau dulu kita dengar “ohhh hebatnya dia gelecek bola kat padang sampai boleh wakili daerah, negeri dan juga negara”. Tapi untuk e-sukan pula, laungan yang sama disuarakan komuniti gamers terutamanya yang meminati game FIFA.

Penulis sendiri kagum dengan kejayaan Luqman ‘Fenrir’ Haziq, anak muda kita yang baru berusia 20 tahun tapi dah layak untuk bersaing di peringkat dunia. Luqman menjuarai pusingan kelayakan dalam talian untuk layak ke FIFA Ultimate Team (FUT) Champions Cup #1 di Barcelona, Sepanyol pada 26 -28 Januari 2018. Luqman juga akan ditaja sepenuhnya termasuk penginapan dan tiket penerbangan ke Barcelona oleh EA Sports.

Pertandingan ini adalah sebahagian daripada acara utama FIFA eWorld Cup (FEWC) yang dianjurkan oleh EA Sports. Sebanyak AS$200,000 (RM817,300) ditawarkan untuk pemain. Korang boleh rujuk laman web ini untuk maklumat lebih lanjut.

Ikuti temu bual penulis bersama Luqman:

Tahniah Luqman atas kejayaan anda! Jadi soalan pertama saya adalah.. bagaimana anda layak untuk ke playoff di Barcelona?

Saya hanya perlu main 160 game secara online, lawan dengan player lain di serata dunia. Saya berjaya memenangi 154 daripada 160 perlawanan dan seterusnya advance ke playoff bersama 63 lagi peserta lain.

Sebagai satu-satunya wakil dari Asia Tenggara, mesti lah saya rasa sikit berdebar untuk bertanding Januari nanti, tapi saya akan bawa harapan negara jadi saya jadi lebih yakin untuk berikan persembahan terbaik nanti.

KEJOHANAN FIFA 17. FOTO: Luqman Haziq

Jarang melihat pembabitan Luqman dalam pertandingan FIFA 18 tempatan. Mengapa?

Sejujurnya, dah lama saya nak fokus pada FEWC ini jadi saya biasakan diri untuk training di rumah, main mod FUT untuk bersiap sedia dalam kejohanan dunia nanti. Tournamnet terakhir saya ialah bersama Gamesbond.

Study dan main game pada masa sama bukan senang. Bagaimana Luqman membahagikan masa untuk keduanya?

Disebabkan FIFA 18 game yang santai dan tak perlukan komitmen berterusan, itu antara kelebihannya. Cukup sekadar main beberapa jam pada hujung minggu pun dah memadai. 

Waktu study saya sibuk dengan assignment. Kena pandai plan, buat jadual sendiri. Boleh dikatakan setakat ini, saya masih fikirkan study itu penting dan takkan abaikannya. Tapi pada masa yang sama, saya ingin buktikan kebolehan diri sendiri dalam game FIFA juga.

Apa perbezaan utama antara kejohanan FUT dan kejohanan FIFA di negara kita?

Bezanya ialah kita akan buat team sendiri dengan membeli in-game player pack. Mod FUT juga lebih mencabar kerana kita perlu tukar strategi dan tak boleh harapkan longshot atau teknik biasa digunakan. FUT juga banyak highlight dekat counter attack dan possession. 

Tapi satu kelemahannya ialah perlu ada sambungan kepada Internet. Mungkin kerana kelajuan Internet dekat negara kita masih belum menyaingi negara lain jadi akan timbulkan isu lag dan ping yang kacau sesi perlawanan.  Jadi sebab itu kejohanan FIFA tempatan dianjurkan secara offline.

KEJOHANAN terakhir Luqman sebelum memfokuskan kepada FUT. FOTO: Luqman Haziq

Dengar cerita anda akan bermain tanpa mewakili mana-mana clan FIFA, apa sebabnya?

Saya berharap untuk pergi lebih jauh dan dapat tawaran bermain untuk kelab esports yang ditubuhkan oleh organisasi bola sepak seluruh dunia.

Plan jangka masa panjang ialah maintainkan prestasi dan terus buktikan yang terbaik masa dekat playoff nanti. Mana tahu ada kelab bola sepak yang berminat untuk melamar saya nanti (ketawa).

Soalan terakhir untuk Luqman, apa persiapan yang akan dibuat sebelum tiba Januari nanti?

Saya bangga kerana dapat exposure untuk main dengan pemain lain di seluruh dunia Januari nanti. Bayangkan selama ni saya adore mereka dengan menonton Youtube channel saja. Tapi nanti saya dapat bermain secara berdepan dan bertemu mereka personally, siapa tak excited?

Untuk itu, saya akan buat persiapan dari sekarang. Terus kaji dan kaji kelemahan pihak lawan dan cara permainan saya sendiri. In sha Allah saya akan buat yang terbaik untuk bawa harapan negara dan kibarkan bendera Jalur Gemilang di Barcelona nanti. Majulah eSports untuk negara!

LUQMAN (kiri) bersama Suki Lee dan Fazli Razak dari Gamesbond. FOTO: Suki Lee

Saya mendapat tahu Gamesbond akan membantu Luqman dalam persiapannya ke Barcelona. Apa peranan Gamesbond dalam hal ini?

Saya dan Fazli sekarang bertindak sebagai pengurus Luqman dan akan membantu mendapatkan penaja yang ingin menaja Luqman ke sana nanti. Ini termasuklah mendapatkan duit poket dan ‘FUT Coin‘.

Walaupun EA Sports standardized kan rules untuk kesemua pemain tapi FUT Coin perlu didapatkan sekiranya Luqman ingin meneruskan kariernya dalam FUT untuk mendapatkan player packs.

Kami juga akan groomkan dia sama seperti apa kami buat pada AmTuah dalam persediaan menghadapi Esports World Convention (ESWC) dulu. Kami akan mengatur jadual dan menyediakan training routine yang bersesuaian. Dengan cara ini, Luqman akan lebih bersedia sebagai seorang pemain profesional kelak.

FDG Amtuah. FOTO: Yann

Boleh nampak industri FIFA di negara ini sedang berkembang. Dulu anda layak ke ESWC, sekarang giliran Luqman pula untuk mencuba nasib ke FEWC. Apa pandangan anda dalam hal ini?

Saya berbangga kerana lebih ramai yang menaruh minat untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Selepas ini penganjur harus perbanyakkan lagi pertandingan dengan format berbeza bagi menyediakan satu arena kompetitif kepada pemain.

Sebagai contoh, pilih 32 pemain FIFA terbaik dalam Malaysia dan tempatkan mereka dalam satu pertandingan. Kalau ada tournament macam ini, pemain akan lebih bersedia untuk melangkah keluar dari zon selesa dan mencari peluang di peringkat Asia Tenggara serta dunia.