‘Tipulah Kalau Tiada Perasaan Rindu,’ – AROV Boyka Sanggup Berjauhan Dengan Isteri Untuk Bertanding Di Shanghai, China

By Hazril Md Nor | May 5, 2019

Berjauhan dengan isteri adalah dugaan yang besar lagi-lagi apabila ia membabitkan impian dan kerjaya.

Dalam sukan fizikal, situasi ini acap kali berlaku dan seringkali diperkatakan tapi di dalam esports, percaya atau tidak, terdapat juga pemain yang menjalani ujian ini.

Bagi pemain PUBG Mobile, Khairunnazri Bin Masli, 26 atau lebih dikenali sebagai AROVxBOYKA, ini adalah kali pertama berjauhan dengan isterinya, Nurulhuda dan anak sulung.

Pemain berbakat ini adalah ahli kumpulan AROV Esports, skuad PUBG Mobile yang kini berada di Shanghai, China selama lima minggu untuk liga PUBG Mobile Club Open – Spring Slit yang menawarkan hadiah wang tunai terkumpul RM107,980 melibatkan beberapa buah negara antaranya Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand.

“Tipulah kalau tak ada rasa rindu dekat keluarga kan? Dalam banyak-banyak perasaan saya rasa, mestilah jauh dan rindu terhadap isteri dan anak benda paling berat nak hadap.

“Walaupun di sini tiada akses untuk media sosial selain Weibo dan WeChat, saya menggunakan rangkaian peribadi maya (VPN) untuk mengakses Facebook dan Whatsapp. Boleh dikatakan, hampir setiap hari saya akan gunakan aplikasi ini untuk menghubungi keluarga.

“Terubatlah sikit perasaan rindu pada isteri dan anak-anak,” katanya.

Akan timang cahaya mata kedua tak lama lagi

Boyka menyambut hari ulang tahun anak sulungnya bersama isteri

Boyka yang berkahwin sejak 2014 berkata isterinya pada mulanya kurang bersetuju mengenai kerjayanya dalam e-sukan kerana prospek pekerjaan tidak begitu meluas pada tahun-tahun sebelumnya. 

“Selepas saya tunjuk dan buktikan kebolehan saya di pertandingan, maka isteri mula bagi sokongan.

“Sekarang saya bekerja sebagai streamer sepenuh masa, jadi saya perlu bermain game setiap masa untuk meningkatkan mutu dan corak permainan. Alhamdulillah, kami bertolak ansur dalam hal itu dan isteri bersetuju dengan hala tuju karier saya,” katanya.

Boyka berkata, mereka akan menimang cahaya mata kedua dijangka pada Ogos ini jadi bila berjauhan, dia pun perlu tahu keadaan semasa isterinya.

“Walaupun isteri dan anak tinggal bersama keluarga mertua, sebagai suami memang sudah jadi kewajipan untuk ambil tahu keadaan dan tahap kesihatannya.

“Kerap kali saya akan mendapat kiriman gambar dan video dia dan anak sulung kami untuk membangkitkan semangat di sini demi masa depan kami sekeluarga.

“Banyak kali juga berbincang dengan isteri sebelum pergi. Alhamdulillah, si dia memahami dan mengizinkan kerana faham apa saya buat ini adalah demi keluarga dan untuk mengharumkan nama negara,” katanya.

Katanya, isterinya juga sentiasa memberi sokongan moral dan kata-kata semangat yang tidak putus.

Baru lagi bermain PUBG Mobile

Bersama isteri di Kejohanan Kebangsaan PUBG Mobile Malaysia (PMNC)

Boyka berkata, dia sebenarnya baru lagi terlibat dalam arena ini dan perjalanannya masih panjang.

“Boleh dikatakan pengalaman saya dalam karier ini masih lagi hijau tapi saya percaya semuanya bermula dari bawah dan ini adalah masanya untuk saya buktikan kemampuan.

“Di dalam permainan, saya lebih suka menggunakan M416 kerana boleh spray dari jarak yang jauh. Untuk sniper pula sememangnya AWM menjadi pilihan kerana tembakan fatal yang sudah pasti.

“Teknik permainan kami (AROV) lebih kepada aggresive gameplay kerana kami suka memburu dan melenyapkan pihak lawan lebih awal supaya di akhir circle musuh tinggal sedikit dan keadaan peperangan lebih senang untuk diatasi,” katanya.

Tambah Boyka, PUBG Mobile menjadi pilihannya kerana dia memang gemar permainan mudah alih yang perlukan taktikal dan ia adalah game yang perlukan kerjasama dan tolak ansur untuk memenangi perlawanan.

Untuk mengikuti perkembangan pasukan ini, boleh layari Facebook mereka di SINI.