Final Fantasy 7 Remake, MediEvil Remake & Banyak Game Baru Diumumkan Di PlayStation State of Play

By Intan Mawarni | May 10, 2019

Pagi ini, Sony telah mengadakan State of Play untuk kali kedua bagi memaparkan beberapa game terbaru yang bakal hadir di PS4 dan akhir sekali, menunjukkan remake game yang lama ditunggu-tunggu oleh ramai pemain. State of Play adalah persembahan sementara mengikut format rancangan Nintendo Direct tetapi ini lebih fokuskan kepada PlayStation.

Berbanding rancangan pertama State of Play yang mendedahkan game fokus kepada VR seperti Marvel’s Iron Man VR dan No Man’s Sky VR pada Mac lepas, jom kita lihat game apa yang ditonjolkan dalam State of Play untuk Mei 2019.

Final Fantasy VII Remake Telah Kembali

Setelah lama menyepi, Square Enix mendedahkan trailer baru untuk Final Fantasy VII Remake iaitu pengolahan semula untuk game klasik popular dalam kalangan pemain yang dilancarkan pada 1997.

Trailer memberi sedikit pandang pertama terhadap peningkatan grafik dari segi karakter, keseluruhan persekitaran game dan cara gameplay agak seiras Final Fantasy XV. Ia juga menampilkan babak Cloud memberikan bunga kepada Aerith dan pertembungan Cloud dengan Sephiroth. 

Namun, tiada lagi tarikh rasmi diumumkan dan banyak lagi bakal didedahkan pada E3 2019, kata pengarah, Tetsuya Nomura.

MediEvil Remake Sudah Ada Tarikh Pelancaran Rasmi

MediEvil Remake adalah game klasik PlayStation popular yang telah diolah semula oleh Other Ocean Interactive untuk pemain generasi baru dan bakal hadir di PlayStation 4 pada 25 Oktober 2019.

Dalam MediEvil Remake, korang akan kembali mengikuti kesatria palsu, Sir Daniel Fortesque bertempur dalam peperangan terhadap ahli sihir jahat, Zarok demi mempertahankan Kingdom of Gallowmere tetapi Sir Daniel menemui ajal kerana kena tertusuk anak panah oleh Zarok dalam peperangan itu. 

100 tahun ke hadapan, Sir Daniel dihidupkan semula kerana sihir Zarok dan ini memberi peluang kedua untuk dia menebus kesilapannya untuk menjatuhkan Zarok dan askar-askarnya.

Monster Hunter World: Iceborne – DLC Baru Diumumkan

Walaupun dilancarkan pada tahun lepas, Monster Hunter: World mempunyai masih ramai lagi ikutan. Capcom mengumumkan DLC terbesar untuk Monster Hunter World iaitu bertajuk Iceborne. Korang boleh tengok livestream rasmi bersama pembangun Monster Hunter World menerangkan DLC Iceborne di sini.

Iceborne mengajak pemain untuk menyesuaikan diri dalam iklim musim sejuk dan berdepan dengan raksasa ais seperti Velkhana. Selain itu, DLC ini ada cerita yang menyambung pengakhiran kempen utama dan pergi ke daerah baru Hoarfrost yang ditenggelami dengan salji tebal.

Monster Hunter World: Iceborne bakal dilancarkan di PS4 dan Xbox One pada 9 September 2019 manakala versi PC akan hadir pada musim sejuk sekitar Disember – Februari.

Selain tiga game yang dinanti-nantikan oleh pemain di atas, berikut adalah tiga game baru diumumkan secara rasmi semasa State of Play:

Predator: Hunting Grounds

Predator: Hunting Grounds adalah game fokus kepada multiplayer iaitu sepasukan pemain akan bermain sebagai pasukan elite Fireteam manakala satu pemain akan bermain sebagai Predator memburu pasukan ini. 

Dibangunkan oleh IllFonic iaitu studio sama yang menghasilkan Friday the 13th: The Game, video ini tidak menunjukkan sebarang gameplay tetapi nampak gayanya game ini dihasilkan mengikut siri filem asal yang diterbitkan oleh 2oth Century Fox.

Riverbond

Riverbond adalah sebuah game hack n’ slash dibangunkan oleh Cococucumber yang boleh bermain seramai 4 orang secara serentak dengan gaya grafik ‘voxel‘.

Trailer di atas menunjukkan pelbagai pengubahsuaian karakter yang diinspirasikan daripada game indie lain seperti Guacamelee!, Shovel Knight, Bastion dan ramai lagi. Riverbond bakal dilancarkan pada sekitar musim panas di PS4.

Away: The Survival Series

Jika korang berimpian untuk jadi tupai terbang sugar glider, inilah masa korang untuk bersinar.

Away: The Survival Series menampilkan seekor sugar glider menyelusuri alam semula jadi yang dipenuhi dengan haiwan-haiwan liar dan menguji kelangusngan hidup tupai ini apabila bertembung dengan pemangsa.

Sony juga mendedahkan konsol PS4 bertemakan Days of Play edisi terhad dan akan dilancarkan sempena acara Days of Play pada bulan Jun ini. 

Buat pengetahuan korang, Sony tidak akan mengadakan persidangan PlayStation di E3 buat pertama kali dalam sejarah. Format rancangan State of Play ini mungkin bakal memberikan kita berita tentang game eksklusif PS4 lain seperti Death Stranding, The Last of Us Part II dan banyak lagi.