DOTA 2: Mousesports (AD Finem) Dibubarkan Selepas 2 Tahun Bersama

By Hazril Md Nor | December 26, 2017

Kalau berita EG kehilangan Universe cukup menyedihkan, komuniti Dota 2 seluruh dunia sekali lagi digemparkan dengan pembubaran skuad paling hebat dari Greek, Mousesports (Ad Finem) beberapa hari lepas.

Pemain support, Verroes “Maybe Next Time” Apostolos mengumumkan berita sedih itu dalam satu twitnya, mengatakan mereka akan membawa haluan masing-masing dan berterima kasih kepada mouz sepanjang berada dalam organisasi itu.

Beliau tetap meneruskan lagi twitnya dalam versi lebih panjang untuk meluahkan apa yang terjadi sepanjang 2 tahun dan kenapa beliau tak boleh teruskan lagi.

“Mereka (Mousesports) faham dengan situasi yang terjadi (prestasi tak konsisten) dan ingin terus bekerjasama dengan kami. 

“Tapi malangnya kami sudah sampai ke tahap tak boleh teruskan lagi tanpa menukar roster ataupun membubarkan team,”

Betul lah tu, walaupun skuad Greek ini pernah mempamerkan prestasi luar biasa di Boston Major tahun lalu (naib juara), mereka gagal untuk terus menyinar dalam kejohanan lain. Mousesports juga gagal menduduki tempat kelapan dalam Kiev Major – walaupun selepas mendapat direct invite.

Prestasi mereka terus terjunam selepas gagal melepasi pusingan kelayakan The International 7, tewas di tangan Planet Dog. Roster ini yang dianggotai Omar “Madara” Dabachach, Dmitris “ThuG” Plivouris, Kharis “SkyLark” Zafiriou, Giorgos “SsaSpartan” Giannakopoulos, dan Maybe Next Time sentiasa kekal bersama biarpun menempuhi pelbagai rintangan dalam karier.

Sepanjang 2 tahun bersama semenjak diasaskan pada Disember 2015, sekali pun tak pernah ada pertukaran roster antara mereka. Maybe Next Time menunjukkan penghargaan kepada mereka dengan kenyataan ini.

“Apa yang saya menyesal ialah kegagalan untuk meraih kejayaan yang kami impikan bersama skuad ini. Saya sangat seronok bermain bersama mereka dan akan terus abadikan kenangan antara kami bersama,”

Walaupun peminat Ad Finem sangat kecewa setakat ini, terus letakkan harapan kerana tak mustahil suatu hari nanti mereka akan kembali bersama. Siapa tahu kan? Mungkin kejayaan di Boston Major dapat menyemarakkan semangat mereka untuk kembali ke arena kompetitif Dota 2.