Dasar Ekosistem Kandungan Digital (DICE) Dilancarkan Untuk Memacu Industri Game Malaysia

By Intan Mawarni | August 9, 2019

Industri game semakin berkembang mekar di rantau Asia Tenggara terutamanya Malaysia. Kajian Niko Partners menjangkakan pemain PC dan game mobile akan meningkat dari 300 juta ke 400 juta pemain pada tahun 2021.

Sejak industri game mula bertapak pada awal 2000 bermula dari Gamebrains, Malaysia telah menjadi pusat untuk mengembangkan bakat pembangun game. Kini, terdapat lebih daripada 370 studio bertapak di Malaysia seperti Metronomik, Magnus Games Studio, Lemon Sky Studios, Passion Republic dan banyak lagi.

Selain itu, industri game Malaysia berjaya menarik perhatian studio game ternama seperti Codemasters, Bandai Namco dan Pole to Win serta berjaya menjana 11,000 pekerjaan.

Semasa persidangan Level Up KL 2019, Menteri Komunikasi dan Media, YB Gobind Singh Deo mengumumkan initiatif kerajaan Malaysia untuk memperkukuhkan industri game yang dipanggil sebagai Dasar Ekosistem Kandungan Digital (DICE). 

Gobind berkata, “DICE bertujuan untuk memajukan penyelidikan, penciptaan IP, pengkomersialan, penjenamaan dan pemasaran untuk memacu potensi eksport industri permainan negara.”

Katanya, kerajaan percaya industri game ini dapat mewujudkan peluang pekerjaan terutamanya untuk anak muda dan mempelbagaikan program berkaitan gaming secara sihat dan e-sukan dalam kalangan belia.

Pembentukan DICE ini selaras dengan objektif bagi menaikkan fasiliti jalur lebar negara iaitu 5G dan NFCP. Ini adalah untuk menarik pelaburan studio game dan animasi dari luar negara untuk mengembangkan sektor game dan animasi. 

Dari kiri: Naib presiden kandungan kreatif MDEC, Hasnul Hadi Samsudin, CEO MDEC, Surina Shukri dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tuan Gobind Singh Deo dan Presiden ESM, Dato’ Ananth A/L Sevlanga Nathan

Kerjasama pelabur-pelabur ini membuka potensi studio dalam negara untuk mencipta IP atau game tersendiri yang setaraf dengan game di peringkat antarabangsa. DICE dijangka akan dilancar pada hujung tahun ini.

Gobind juga hadir untuk merasmikan pertukaran memorandum persefahaman antara Persatuan Esports Malaysia (ESM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). Menurut naib presiden MDEC, Hasnul Hadi Samsudin, ini adalah langkah yang diambil untuk membangun platform digital iaitu mengumpul data pemain-pemain profesional dan juga menghasilkan kandungan khusus untuk komuniti e-sukan.

Level Up KL 2019 bakal diadakan pada 6 hingga 10 November 2019. Buat pertama kali dalam sejarah, Level Up KL 2019 akan dibuka untuk orang awam bertempat di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 hingga 10 November.

Ketahui lebih lanjut tentang Level Up KL 2019 menerusi pautan ini.

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di FacebookTwitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.