Gadis Ini Raih Anugerah Naib Canselor, Kongsi Tips Main Game Sambil Belajar

By Hazril Md Nor | August 14, 2019

Ramai orang menyangkakan gaming dan pelajaran tidak boleh dicampur aduk dan salah satunya perlu dikorbankan untuk berjaya. Bagaimanapun, seorang gadis berhijab, Wan Khairunnisa Nur Sabrina, 22 berjaya membunuh tanggapan ini apabila tersenarai untuk Anugerah Naib Canselor di UiTM Raub, Pahang baru-baru ini.

Wan yang selesa dikenali dengan panggilan Sabrina berkata, perjalanannya hingga ke tahap ini bukanlah mudah. Untuk berada di tahap ini, memerlukannya berkorban banyak perkara.

“Sebelum ini saya dapat tawaran untuk menyambung pengajian dalam jurusan Bahasa Inggeris di UiTM tapi saya menolaknya dan memilih untuk sambung dalam Tingkatan Enam.

“Tapi entah kenapa, mungkin tak berapa kena dengan jiwa, saya berhenti dan kemudian menunggu tawaran sekali lagi di UiTM.

“Ketika itulah kehidupan saya mula berubah. Saya dapat tawaran pengajian Diploma dalam Pengajian Perbankan dan saya rasa ini lah masanya untuk belajar bersungguh-sungguh, tetapkan matlamat dan hargai tawaran diberikan Allah ini,” katanya ketika dihubungi MyGameOn.

 

SELALU STRIM PADA HUJUNG MINGGU

Sementara gadis lain seusianya selesa menonton wayang atau melakukan hobi santai lain, Sabrina memilih untuk strim dan bermain game kerana baginya, interaksi bersama penonton itu adalah pengalaman paling berharga.

“Hari Isnin hingga Jumaat memang jadual padat dengan kuliah. Jadi kalau waktu ini saya akan bermain game juga tapi jarang.

“Biasanya saya akan bermain Dota 2 dan Minecraft bersama kawan-kawan kuliah. Walaupun ia sekadar suka-suka, memang dah jadi satu hobi.

“Kalau tiba waktu hujung minggu, ini lah masa saya akan balik ke rumah keluarga untuk strim dan berinteraksi bersama penonton,” katanya yang juga ahli kumpulan Nerd Gaming Malaysia.

Ikuti perjalanan karier streaming Sabrina di page Facebook miliknya, Sabrina Zainal.

Tambah Sabrina, hujung minggu ini adalah waktu yang mana dia akan strim di laman Facebook miliknya.

“Saya akan mula strim selama beberapa jam. Kebiasaannya saya akan main PUBG Mobile kerana ia adalah game sesuai untuk main sambil berhibur melayan komen penonton.

“Ada juga yang bertanya tentang pelajaran dan kami berkongsi tip dan pendapat.

“Sebenarnya strim itu bukan hanya kita bermain game tapi kita sebagai penghibur berkongsi serba sedikit tentang kehidupan,” katanya.

 

MAIN GAME TAPI BELAJAR JUGA

Menurut Sabrina, dia memperuntukkan banyak masa untuk memfokuskan pada pelajaran dan strim hanyalah hobi separuh masa saja.

“Selalunya saya akan belajar dengan membuat nota sendiri dan bertanyakan pada pensyarah.

“Tapi untuk belajar dan strim ada cabaran tersendiri kerana perlu seimbangkan kedua-duanya dan perlu berdisiplin.

“Haikal Omar ibarat mentor kepada saya kerana dia berjaya tunjukkan contoh yang baik kepada pelajar untuk seimbangkan pelajaran dan bekerja separuh masa,” katanya.

Pencipta kandungan dan juruvideo, Haikal Omar (@Kalcubemaster). Gambar: Haikal Omar

Katanya lagi, kunci kejayaan untuk memenangi Anugerah Dekan pada setiap semester adalah doa dari ibu bapa.

“Cara saya, apa-apa pun tugas (assignment)presentation ataupun ujian, mesti saya akan minta ibu bapa doakan sebelum buat.

“Memang betul orang kata, doa ibu bapa itu sangat berkat.

“Senior pun ada sarankan untuk solat Istikharah dan solat Dhuha hari-hari.  Kadang-kadang kita tahu usaha tak cukup tapi Allah nak bagi rezeki,” katanya.

Tambah Sabrina, waktu paling ‘efisien’ untuk dirinya mengulangkaji bermula pada jam 4 pagi.

 

SUKAR YAKINKAN IBU BAPA

Segelintir remaja ada berdepan kesukaran untuk meyakinkan ibu bapa mereka tentang hobi streaming atau bermain game sebenarnya mampu menjana pendapatan. Bagi Sabrina, dia juga perlu menempuh rintangan sama namun tidak pernah berhenti memastikan ibu bapanya memahami hobinya ini.

“Susah saya nak terangkan kepada mereka yang streaming ini boleh menjana pendapatan. Saya cuba terangkan dari awal tentang Facebook Gaming dan bagaimana ia boleh ditukar menjadi kerjaya separuh masa.

“Alhamdulillah, selepas lama saya stream dan mereka tahu saya boleh imbangkan streaming dan belajar (melihat keputusan semester), mereka mula faham akan hobi ini,” katanya.

Menurut Sabrina, konsep streaming ini mungkin sesuatu yang asing kepada generasi terdahulu.

“Ia adalah konsep yang baru jadi mereka pun cuba faham apa yang saya minat. Selagi mereka boleh faham, Alhamdulillah saya rasa lega dan lebih yakin dengan apa saya buat,” katanya.

 

HALA TUJU SELEPAS INI

Selain strim, Sabrina juga aktif dalam komuniti gaming. Bergambar kenangan bersama ahli pasukan Call of Duty negara, RamPaGe Gaming.

Akhir kata, Sabrina masih belum membuat keputusan sama ada untuk menjadi full time streamer ataupun tidak. Walaupun keinginan kuat untuk berada dalam lapangan ini, Sabrina juga punya cita-cita tersendiri.

“Saya belum buat keputusan lagi. Sekarang ada keinginan nak sambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda,” katanya yang meminati jurusan kewangan.

Sementara itu, bagi gadis di luar sana yang ingin mengorak langkah sepertinya, kata Sabrina, niat kena betul.

“Tips saya adalah betulkan niat kenapa nak buat kedua-duanya (belajar dan strim). Saya buat sebab enjoy belajar dan pada masa sama suka main game.

“Kalau sanggup berkorban untuk kedua-dua (seimbangkan), kena ada jadual sendiri dan disiplin dalam mengikutinya.

“Cuba yang terbaik dan cuba untuk dapatkan Facebook Gaming Partner kerana itu cara ingin jana pendapatan sampingan,” akhirinya.

Gambar di dalam artikel ini adalah ihsan daripada Sabrina Zainal.