Mobile Legends: AirAsia Saiyan Dijenamakan Semula Sebagai AirAsia Impact

By Hazril Md Nor | August 16, 2019

Masih ingat skuad AirAsia Saiyan?

Mereka kini kembali dan dijenamakan semula kepada AirAsia Impact dengan pengurusan baru dan pemain baru!

Pasukan ini dianggotai oleh Muhammad Hazeeq Abd Rahman (Awaken), Kong Jihan (SUMO), Syahmi Md Som (Sakura), Muhammad Azizul Abdul Rashid (Wesker) dan Amir Aras (ILLUSSION).

Untuk pengetahuan semua, Hazeeq pernah bermain secara kompetitif dalam arena Call of Duty di mana beliau menyertai skuad Venom Red.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Esports Profesional Team, Allan Phang berkata, pihaknya teruja dengan proses penjenamaan semula ini.

“Kami akan fokus kepada komuniti e-sukan selain mendidik orang awam tentang kebaikan e-sukan,” katanya yang turut dibantu oleh pengasas bersama, Gabriel Chan yang memfokuskan pada operasi harian bagi pasukan ini.

Kata Allan, mereka antara pemula bagi pasukan e-sukan di Malaysia yang menyediakan caruman bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada atlet e-sukan ini selain PERKESO dan faedah lain termasuklah insurans dan latihan kemahiran hidup.

Lebih menarik apabila atlet e-sukan ini boleh menjalani #healthygaming dengan adanya gaming house yang disertakan kemudahan fasiliti seperti gimnasium, kolam renang dan ruang kerja yang luas dan selesa.

Mereka juga akan mengetengahkan empat objektif utama dalam penubuhan AirAsia Impact ini: Pengurusan pasukan, Personaliti (KOL) dalam e-sukan/gaming, akademi e-sukan dan agensi pemasaran e-sukan.

Sebelum ini, AirAsia Impact dimulakan pada Mac tahun lalu selepas Tan sri Dr. Tony Fernandes memperoleh hak milik ke atas Team Saiyan dan dijenamakan sebagai AirAsia Saiyan.

Pasukan itu diwakili oleh nama-nama yang kini berada dalam Team Bosskurr; Ahmad Fuad ‘Fredo‘ Alili, Mohd Farid ‘Soloz‘ Zakaria, Abdul Wandi ‘Logan‘ Abdul Kadir, Andi Alfian ‘Gripex‘ Firman, Sofian ‘Penjahat‘ Sultan dan Herwin ‘Rush‘ Baharuddin.