Infamous Melepaskan Kesemua Pemain, Namun Pasukan Ini Kekal Berlima

By Hazril Md Nor | August 30, 2019

Organisasi e-sukan dari Peru, Infamous Gaming umum berita mengejutkan hari ini bahawa mereka akan melepaskan kesemua pemain Dota 2 namun pasukan itu akan masih main bersama-sama dengan lima pemain.

Menerusi satu kicauan di Twitter, Infamous menulis “Hari ini kami umumkan Hector, Chris Luck, Wisper, Scofield dan Stinger akan bersama sebagai satu pasukan tapi tidak akan bermain di bawah nama Infamous Gaming. Kami harap mereka lebih maju jaya dalam kembara terbaru,”

Sebelum ini, satu laporan akhbar tempatan di Peru mengatakan kelima-lima pemain akan terus bersama organisasi itu namun kenyataan ini nyata meleset apabila mereka meninggalkan Infamous Gaming keesokan harinya.

Kelima-lima mereka mula menyertai organisasi itu pada bulan Julai baru-baru ini bagi menghadapi The International 2019.

Meskipun mempunyai masa yang terhad main bersama, pasukan Peru ini mencetuskan kejutan di pentas dunia apabila memperoleh tempat ketujuh di TI9, hanya tewas berdepan Secret 0 – 2.

Di pusingan lower bracket, mereka dianggap underdog apabila berjaya menewaskan skuad tuan rumah, Keen Gaming dan kemudian menang 2 – 1 ke atas Newbee. Mereka membawa pulang kira-kira AS$858 ribu dalam kejohanan dunia itu.

Kejayaan Infamous menunjukkan pasukan dari benua Amerika Selatan mampu beri saingan hebat dan pastinya mereka akan mendahagakan lebih banyak kejayaan bersama-sama selepas ini.

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di FacebookTwitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.