Review – Catherine: Full Body Beri Pengajaran Untuk Pasangan Curang

By Intan Mawarni | September 20, 2019

Lamunan perasaan cinta semestinya antara satu perkara indah yang berlaku dalam kehidupan manusia. Betapa hangat membara atau suam-suam kuku hubungan cinta korang, kita kadang-kala dihantui dengan perasaan takut jauh di sudut hati sekiranya pasangan kita intim dengan orang lain. Malahan, lebih teruk, ada yang tidak sedar sebenarnya diri sendiri terlanjur dengan individu lain tanpa menyedari akibat yang melanda.

Catherine: Full Body menyajikan pengajaran padu untuk pasangan yang berlaku curang dan sedikit renungan untuk mereka yang bujang serta keseorangan di luar sana melalui bentuk game bertemakan teka-teki. Adakah Catherine: Full Body ini dapat memuaskan peminat Catherine asal ataupun hambar? Jom ikuti review kami.

Bayangan gurauan

Catherine: Full Body mengikuti kisah Vincent Brooks yang bekerja sebagai penasihat IT di sebuah syarikat di tengah-tengah bandar. Berbeza dengan watak hero lain yang bercita-cita tinggi, Vincent menempuhi kehidupan yang membosankan dan hanyut mengikut arus kehidupan tanpa arah tujuan.

Vincent mempunyai seorang teman wanita yang setia bernama Katherine McBride. Mereka telah lama bercinta untuk lima tahun dan seperti apa yang mahu dikecapi mana-mana pasangan, Katherine memutuskan untuk mahu berkahwin dan berkeluarga bersama Vincent. Takut akan tanggungjawab yang mendatang, Vincent menjadi resah apabila bertanyakan soal-soal perkahwinan dan takut akan kehilangan kebebasan sebagai anak teruna.

Pada satu malam ketika Vincent tengah menikmati kebebasan anak teruna di Stray Bar iaitu tempat lepak dia selalu pergi setiap malam, dia disapa oleh seorang gadis misteri bernama Catherine. Pertemuan antara Vincent dan Catherine menukarkan Vincent menjadi kelam-kabut sehinggakan tidak dapat membezakan antara realiti dan fiksyen apabila dia menjumpai Catherine di sampingnya dalam bilik pangsapurinya yang kecil. Bukan sahaja Vincent tersepit dalam cinta tiga segi, malah kehidupan Vincent kini menjadi lebih ‘rancak’ apabila dia bertemu dengan seorang lagi individu bernama Rin yang hilang ingatan.

Umpama mimpi dalam mimpi

Obor-obor berwarna biru itu berfungsi sebagai peringatan kepada pemain untuk berhati-hati di blok berkenaan

Kepincangan cerita cinta empat segi – Vincent dengan Catherine, Rin dan Katherine diterjemahkan dalam teka-teki yang perlu diselesaikan oleh Vincent bertukar jadi kambing biri-biri pada setiap malam. Teka-teki yang dilaluinya bukan sebarang teka-teki dan bukan dia seorang sahaja yang ‘melayari’ mimpi ngeri ini.

Melalui fungsi online, korang boleh lihat kawanan kambing biri-biri yang terdiri daripada pemain dari seluruh dunia menempuhi teka-teki yang sama. Jika mereka terjatuh, kematian mereka akan dizahirkan sebagai obor-obor berwarna biru di tempat terakhir mereka berada.

Setiap peringkat teka-teki mempunyai blok berubah bentuk yang mempengaruhi prestasi memanjat korang seperti blok boleh meletup, blok keras tidak boleh digerakkan, blok menyedut badan dan macam-macam lagi. Halangan blok ini boleh diatasi dengan barangan yang hadir di teka-teki itu seperti minuman tenaga langkau dua blok, buku untuk membunuh semua biri-biri jahat dan sebagainya.

Sekilas pandang, rekaan teka-teki yang ditampilkan dalam game ini benar-benar menakutkan. Apabila korang tiba di puncak terakhir, ia berfungsi sebagai tahap bos yang mana pemain perlu mengalahkan ketakutan dan dilema yang memakan diri Vincent seperti hantu pengantin teman wanitanya, raksasa bayi dan banyak lagi. 

Sebagai seorang yang tak gemar sangat main game teka-teki tekak-tekuk, teka-teka yang dihasilkan dalam Catherine: Full Body agak mencabar dan mengasah minda pemain. Ada sesetengah tahap dalam game ini saya mengambil masa sekurang-kurangnya 30 minit untuk selesaikan. Namun, game ini memberi kelonggaran banyak dengan mod autoplay dan korang pun boleh terus langkau teka-teki jika korang hanya berminat dengan jalan cerita Catherine: Full Body. 

Di sana menanti di sini menunggu

Di Stray Bar

Catherine: Full Body menguji perhubungan dan permasalahan dalam kehidupan Vincent. Ketika Vincent berada dalam dunia nyata, Vincent lepak di Stray Bar bersama rakan karib dan menyemak telefon bimbit yang mana dia boleh membalas dan menerima teks mesej dan gambar-gambar menarik daripada Catherine, Katherine dan Rin.

Malah, ada beberapa pengunjung Stray Bar mengalami mimpi ngeri yang sama seperti Vincent. Dalam mimpi ngeri Vincent, terdapat sebuah ruang legar yang mana dia boleh berborak dan menolong mangsa biri-biri lain tentang nasib mereka dan berbincang tentang teknik-teknik betul untuk memanjat blok. 

Untuk melepasi tahap teka-teki seterusnya, pemain akan disajikan dengan soalan-soalan subjektif yang saya pun tak pasti bagaimana ia boleh mempengaruhi meter biru dan merah ataupun dipanggil sebagai Chaos & Freedom. Segala keputusan kita pilih ini menentukan nasib Vincent sama ada korang mahu membantu dia untuk bertanggungjawab, teruskan dia acuh tak acuh dan berfoya-foya secara langsung akan menentukan meter berkenaan.

Mana satu jawapan yang betul?

Tetapi, pemain perlu diingati setiap keputusan Vincent ambil sama ada dalam realiti atau mimpi terletak di tangan korang. Adakah korang akan balas mesej dan gambar provokatif dihantar oleh Catherine? Adakah korang terus menjaga dan melayan perasaan Rin? Patutkah korang memutuskan hubungan dengan Katherine? Ini bergantung kepada perspektif dan kefahaman dunia pemain untuk memberi hala tujuan dalam hidup Vincent.

Secara kesimpulannya, Catherine: Full Body tetap mengekalkan atmosfera seram dan aneh tetapi memberikan banyak persoalan tentang makna kehidupan secara tidak langsung dengan 13 pengakhiran yang korang boleh jelajahi dalam game ini. Game ini sesuai bagi mereka yang minat dengan jalan cerita dan karakter-karakter serta mahu bermain secara bersahaja seperti Persona 5. Kalau korang mahu game yang lebih rancak, sayang sekali Catherine: Full Body bukan untuk korang .

Catherine: Full Body kini dilancarkan di PS4 dan PS Vita sekarang.

Terima kasih kepada Epicsoft Asia atas kod permainan.

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di FacebookTwitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.