Inilah Cara Untuk Hantar Game Ke Apple Arcade

By Intan Mawarni | October 1, 2019

Baru-baru ini, kami turut menemuramah pengarah dan penerbit King’s League II, P’ng Yi Wei dari Kurechii untuk berkongsi saat menghadapi cabaran pahit getir dan menerima pengalaman berharga apabila King’s League II berjaya dilancarkan dalam Apple Arcade.

Kurechii merupakan sebuah studio game tempatan ditubuhkan pada 2009 yang menghasilkan pelbagai jenis game dari mobile sehinggalah ke PC seperti siri King’s League, Postknight dan Tiny Guardians. King’s League II merupakan sekuel kepada King’s League yang dilancarkan pada 2011. 

Dalam artikel ini, Yi Wei berkongsi bagaimana King’s League II termasuk dalam senarai game Apple Arcade dan berkongsi cara untuk pembangun game Malaysia meyakinkan Apple menghantar game ke Apple Arcade.

King’s League II jadi game buatan Malaysia pertama dalam Apple Arcade

Menurut Yi Wei, Apple meletakkan standard tinggi terhadap game dalam Apple Arcade. “Untuk melayakkan sesebuah game dalam Apple Arcade, pembangun perlu berusaha untuk menghasilkan cadangan game bagus dan harus melalui pelbagai tahap pemeriksaan oleh Apple,” kata Yiwei.

Walaupun beliau tidak boleh mengulas lanjut tentang kerjasama Apple dan Kurechii atas sebab-sebab tertentu, beliau menjelaskan proses untuk memasukkan game dalam Apple Arcade adalah sangat susah iaitu sama seperti untuk masukkan game dalam pasaran konsol (PlayStation, Xbox) dan boleh ambil masa yang sangat lama.

Game eksklusif lawan game percuma

Salah satu ‘kelemahan’ Apple Arcade adalah ia adalah satu servis langganan berbayar sedangkan rata-rata pemain Malaysia gemar bermain game mobile Malaysia percuma seperti Mobile Legends: Bang Bang dan PUBG Mobile. Apabila ditanyakan kepada Yi Wei tentang kemungkinan Apple Arcade untuk goncang pasaran game mobile percuma, perjalanannya masih jauh.

Baca lanjut: Apa Yang Korang Perlu Tahu Tentang Apple Arcade – Tarikh Pelancaran, Harga & Senarai Game

“Secara jujurnya, saiz pasaran game mobile percuma terlalu besar untuk digoncang oleh Apple Arcade. Ia agak susah untuk jangka jika Apple Arcade mampu menggantikan keseluruhan pasaran game berbayar tetapi audiens game berbayar di iOS tentu akan berpindah ke Apple Arcade,” kata Yi Wei.

Apa yang menarik tentang Apple Arcade adalah terdapat pelbagai game unik dan ada beberapa game dicipta oleh pembangun game kreatif di seluruh dunia yang tidak pernah dilihat di mana-mana platform.

Peluang luas untuk pembangun game Malaysia

Pengarah dan penerbit King’s League II, P’ng Yi Wei

Saban hari, banyak syarikat besar dalam industri game melancarkan aplikasi mereka tersendiri dengan barisan game eksklusif seperti yang diwar-warkan contohnya Epic Games Store, Battle.net dan banyak lagi. Apple mengikut jejak sama untuk lancarkan sebuah saluran pengedaran game khas merentasi semua jenis peranti Apple. Dengan kehadiran game eksklusif demi melariskan aplikasi game masing-masing, timbul pula persepsi negatif dalam kalangan pemain kerana ia mengehadkan akses permainan untuk satu aplikasi sahaja.

Dari perspektif pembangun game, perjanjian eksklusif terikat dalam satu aplikasi ada kebaikan dan keburukan. Yi Wei membalas, “Perjanjian ini mungkin menolak pemain-pemain lain yang berpotensi untuk cuba game anda. Sebaliknya, terdapat lautan game yang bagus dalam pasaran sekarang tetapi ada game yang menarik tenggelam dan tidak dapat perhatian pengguna. Melalui perjanjian game eksklusif ini, ia memberi peluang kepada game ini untuk mendapat pendedahan yang mereka layak.”

“Secara jujurnya, saya mencadangkan semua pembangun untuk tidak melepaskan mana-mana peluang dan ambil semua peluang yang mereka dapat. Kalau ada tawaran eksklusif yang tidak boleh dilepaskan yang boleh menampung dana pembangunan dan kebajikan pekerja, ambil tawaran itu. Pokok pangkalnya, ini bergantung kepada kebaikan pasukan dan game yang anda sedang bangunkan.”

Yi Wei percaya Apple Arcade ini memberi banyak manfaat kepada pembangun game di Malaysia sama ada kepada mereka yang baru sahaja berjinak-jinak untuk mencipta game ataupun mereka yang sudah lama berkecimpung dalam pembuatan game. Beliau membalas, “Apple tidak risau tentang soal buat duit untuk Apple Arcade tetapi ia lebih kepada beri kebebasan kepada pembangun untuk fokus kepada penghasilan pengalaman unik.”

Cara untuk hantarkan game ke Apple Arcade

King’s League II adalah game berbentuk simulasi pengurusan strategi menguruskan pahlawan untuk mendapat gelaran Champions of Kurestal

Kepada pembangun game Malaysia yang teringin untuk game mereka masuk dalam sebahagian Apple Arcade, ikuti nasihat yang diberikan oleh Yi Wei:

  • Main game dalam Apple Arcade

Dengan bermain beberapa game dalam Apple Arcade, cuba fikirkan sesuatu untuk menghasilkan game setanding dengan standard Apple Arcade ataupun menghasilkan game lebih bagus. Setelah korang mencipta game yang gempak, cadangkan ia kepada Apple. 

  •  Kenali susur galur pembuatan game untuk semua peranti Apple

Sementara itu, korang boleh kenal lebih dekat tentang peranti Apple lain dengan menerbitkan game dalam App Store. Apple mempunyai ekosistem peranti terdiri daripada iPhone, iPad, Mac dan juga Apple TV.

Apple Arcade memerlukan game ciptaan korang untuk boleh dimainkan untuk semua peranti ini. Biasakan diri untuk bangunkan game selari dengan proses kerja dan teknologi peranti Apple. Pengalaman ini akan membantu anda apabila anda mahu mengemukakan game kepada Apple Arcade.

Korang sudah ada game yang boleh menangkap perhatian Apple? Korang boleh hantar cadangan game melalui laman sesawang Apple Arcade di sini. Semoga berjaya!

Untuk kenali lebih dekat tentang Kurechii, korang boleh ikuti FacebookTwitter dan layari laman sesawang rasmi mereka di sini.

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di FacebookTwitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.