Kathi Menjuarai FIFA 18 MCG2018, Bawa Pulang RM15,000

By Hazril Md Nor | January 15, 2018

Pada Sabtu dan Ahad lalu, kejohanan Malaysia Cyber Games berlangsung dengan jayanya apabils sebanyak 9 game dipertandingkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan hadiah wang tunai terkumpul sebanyak RM300,000.

Bagi kategori FIFA, industri menemukan juara baru pada tahun ini dengan pengumuman Order of Elites (OOE) Infamous9 (Kathi) sebagai juara. Dia membawa pulang wang tunai RM15,000 selepas menewaskan Luqman ‘Fenrir’ Haziq di pusingan akhir.

Berkongsi perkembangan terbaru, Kathi atau nama penuhnya Kathireswaran Sugumaran kini meninggalkan pasukan lamanya, Team Infinite dan memulakan lembaran baru 2018 dalam pasukan Order of Elites, sebuah pasukan e-sukan FIFA bertempat di Singapura.

“Sebenarnya dah lama saya mendapat tawaran daripada mereka (OOE), beberapa minggu lalu. Mereka mula mencari pemain berbakat daripada komuniti FIFA di Malaysia sejak tahun lepas lagi.

“Jadi saya fikir, apa salahnya ambil tawaran ni. Saya pun ingin cuba timba pengalaman baru dengan berlatih dan bermain untuk pasukan bukan Malaysia,”

Kathi juga berkata, OOE inginkan wakil dari Malaysia untuk menghantar pemain ke luar negara. Visi mereka jelas untuk menyasarkan kejohanan di peringkat lebih tinggi dan serantau.

MCG mendapat sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempertandingkan 9 game iaitu Dota 2, Mobile Legends, Playerunknown’s Battlegrounds, FIFA 18, CS:GO, Tekken 7, Street Fighter V, Injustice 2 dan F1 2017.