Level Up KL Play Akan Dibuka Untuk Orang Awam – Main Game Buatan Malaysia Di Sini!

By Intan Mawarni | October 24, 2019

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sudah lama mengacah konvesyen game terbesar di Asia Tenggara ini akan dibuka untuk orang awam semasa satu sidang akhbar rasmi sejak dari beberapa bulan lepas.

Buat pertama kali dalam sejarah Level Up KL, sesiapa sahaja boleh membeli tiket untuk berkunjung ke Level Up KL Play yang bakal dianjurkan pada 9 hingga 10 November 2019 di Pusat Konvesyen KLCC, Kuala Lumpur.

Dari kiri: Pengasas bersama Magnus Games Studio, DC Gan; Naib Presiden Kandungan Digital Kreatif MDEC, Hasnul Hadi Samsudin; CEO Kaigan Games, Shahrizar Roslan.

Orang awam boleh mencuba sendiri demo game yang dihasilkan di Malaysia seperti No Straight Roads (Metronomik), Re:Legend (Magnus Games Studio), GigaBash (Passion Republic), Bake ‘n Switch (Streamline Games) dan macam-macam lagi di Level Up KL Play.

Selain itu, korang boleh beramah mesra dengan orang berpengaruh dalam industri game seperti Wan Hazmer dari Metronomik dan Hideo Manaba dari CyDestination serta bertemu dengan streamer dan cosplayer terkenal seperti Josette, Luna Lorrain dan ramai lagi.

Untuk peminat e-sukan, festival ini bakal menempatkan peringkat akhir liga e-sukan seperti Acer Predator League 2020. Lebih-lebih lagi, festival ini akan ada sebuah upacara penyerahan bendera (flag-off) untuk atlet-atlet e-sukan yang mewakili Malaysia yang bakal diserahkan oleh Menteri Belia & Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum mereka berangkat ke Sukan SEA 2019 di Filipina.

Kepada mereka mahu tahu lebih tentang kerjaya dalam industri game, dua studio game antarabangsa iaitu Bandai Namco Studios (terkenal dengan siri Ace Combat, Soul Calibur) dan Larian Studios (terkenal dengan siri Divinity: Original Sin) bersama-sama studio game tempatan, Lemon Sky Studios akan turun padang untuk merekrut bakat-bakat baru untuk syarikat mereka. 

Terdapat juga institusi pengajian tinggi seperti KDU University College, Claz’room College, The One Academy dan UNDO Academy yang mana menawarkan jurusan pembuatan game kepada mereka yang berminat.

Bukan itu sahaja, pengunjung berkesempatan untuk melihat konsert Video Game Orchestra secara langsung buat pertama kali di Malaysia! Konsert ini bakal dipersembahkan oleh kugiran berasal dari Boston menggabungkan muzik rock, orkestra dan koir ke dalam runut bunyi game terkenal seperti Final Fantasy, Re:Legend, Kingdom Hearts, Sonic the Hedgehog, No Straight Roads dan banyak lagi. 

Tiket Level Up KL Play sudah mula dijual sekarang untuk kedua-dua hari bermula dengan harga RM10. Pengunjung yang membeli tiket awal (early bird) Level Up KL Play boleh menebus kad LTE Unifi Data  Sim tanpa had selama sebulan.

Korang boleh dapatkan tiket secara online atau beli di rakan kedai rasmi berdekatan. Untuk maklumat lanjut tentang Level Up KL Play, korang boleh layari laman sesawang rasmi di sini.

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di FacebookTwitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.