M1: “Terima Kasih Kepada Penyokong Dan Peminat Yang Datang,” – Kapten Todak, Moon

By Hazril Md Nor | November 16, 2019

Pemain Mobile Legends negara, Moon mengucapkan terima kasih kepada penyokong dan peminat yang hadir ke Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini bagi memberikan sokongan padu kepada mereka sempena Kejohanan Dunia Mobile Legends, M1.

Todak diwakili oleh Lyche, Ciku, Moon, Nenas, Xray dan Eone.

“Ada yang datang dari jauh. Dari Langkawi dan Alor Setar jadi kami sangat berterima kasih,” kata Moon.

Ketika ditanya hos, Nik Harris berkenaan perlawanan ketiga ke atas skuad Jepun, 10Second Gaming, Moon menganggap perlawanan itu ada silapnya namun memperbetulkan kesilapan itu pada minit-minit akhir.

“Tengok pada gameplay, kena banyak jaga posisi dan perlu tunggu untuk saat betul bagi memulakan peperangan.

“Ini kerana pasukan Jepun sangat pandai memulakan teamfight,” kata Moon.

Dia juga mengharapkan ahli pasukannya mencuba yang lebih baik menuju Grand Final nanti.

“Jangan mengaku kalah, ini lah masanya kita dapatkan pencapaian lebih baik,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Todak, Amoux mengatakan Burmese Ghouls mungkin saingan yang lebih kuat selepas ini kerana mereka menggunakan meta yang agak berlainan.

“Mereka harus jaga momentum dan berikan yang terbaik nanti,” katanya.

Todak akan bertembung dengan Burmese Ghouls di perlawanan lower bracket seterusnya dijangka bermula pada jam 7 malam nanti.

Kejohanan Dunia M1 mengumpulkan 16 pasukan terbaik Mobile Legends di serata dunia berentap merebut hadiah wang tunai terkumpul RM1 juta. Ia berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula semalam hingga esok.