XPAXKEK: “Jangan Takut, Kena Yakin Untuk Bertanding Dengan Lelaki,” – Nurul Shahirah

By Hazril Md Nor | November 26, 2019

“Mula-mula rasa pressure kerana di Grand Final ni hanya dua perempuan saja yang bertanding. Yang lain-lain semua lelaki.

“Tapi saya cakap dekat sendiri, boleh buat, boleh harungi semua ini. Alhamdulillah, saya berjaya juga harungi sampai ke peringkat akhir,” itu ucapan ringkas Nurul Shahirah Mohd Zaki, 19, satu-satunya pemain wanita bagi kategori PUBG Mobile yang berjaya meraih podium (naib juara) di Kejohanan E-Sukan Kampus (KEK) Semester 2 dianjurkan di The Curve, Damansara, minggu lalu.

Shahirah bersama ahli skuad IIUM Mustangs lain, Mohamad Shah Syazwan Zaili, Muhammad Azri Mahdi dan Muhammad Hisyamuddin Mohd Rasidi Al Munir bermain di peringkat kelayakan Zon Tengah sebelum ini di Dewan Berlian, UiTM Puncak Alam dan layak ke Grand Final selepas bergelar naib juara.

“Saya belajar dari bekas kapten pasukan sebelum ini kerana saya adalah kapten in-game untuk pasukan ini (IIUM Mustangs). 

“Dia selalu cakap jangan menyerah kalah dan sentiasa percaya pada diri sendiri. Walaupun kita satu-satunya pemain perempuan, sebenarnya masing-masing ada kelebihan. Macam saya, kena belajar untuk lead pasukan ini,” kata Shahirah.

Dia yang menuntut jurusan Kejuruteraan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) mengharapkan lebih ramai pemain wanita bergiat dalam e-sukan.

“Jangan takut untuk bertanding.

“Kita kena sedia tahu e-sukan didominasi lelaki dan apa kita boleh buat ialah sahut cabaran itu. Semakin banyak kita babitkan diri dalam e-sukan dan komuniti, Insya-Allah keyakinan kita untuk berentap di arena kompetitif itu akan bertambah,” kata Shahirah.

Selain bergelar pelajar, Shahirah juga adalah ahli kumpulan N.E.D Esports bagi divisi wanita. Katanya, kejohanan peringkat universiti seperti #XPAXKEK mampu beri ruang kepada siswa dan siswi bertanding selain bertemu lebih ramai kenalan.

Ini menunjukkan siswa dan siswi kini bijak membahagikan masa antara belajar dan bermain game. Biarpun mempunyai tugasan untuk disiapkan, mereka juga meluangkan masa untuk berlatih dan seimbangkan kedua-dua aspek ini.

Kempen #HealthyGaming adalah initiatif yang dilaksanakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan produktif bagi menjana pembangunan e-sukan dan industri permainan digital negara.

—-

Edisi kedua Celcom XPAXKEK membawakan 2 kategori pertandingan iaitu Mobile Legends: Bang Bang dan PUBG Mobile dengan jumlah hadiah wang terkumpul sebanyak RM180,000.

Mengikut format semester lepas, pelajar-pelajar bertanding dalam lima zon iaitu:

  • Borneo (Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah & Sarawak) – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kuching pada 21 & 22 September 2019 
  • Selatan (Negeri Sembilan, Melaka & Johor) – Paradigm Mall, Johor Bahru pada 27 & 28 September 2019
  • Tengah (Kuala Lumpur, Selangor & Putrajaya) – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam pada 5 & 6 Oktober 2019
  • Utara (Perak, Penang, Perlis & Kedah) – Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Induk Pulau Pinang pada 12 & 13 Oktober 2019
  • Pantai Timur (Kelantan, Terengganu & Pahang) – Kuantan City Mall, Kuantan, Pahang pada 26 & 27 Oktober 2019
  • Grand Finale – The Curve, Damansara pada 22, 23 & 24 November 2019

Pasukan-pasukan berdaftar bertanding bagi merebut kedudukan 16 terbaik dalam peringkat online. 16 pasukan yang layak untuk kedua-dua game mara ke setiap zon bermula dari UNIMAS, Sarawak.

Pemenang pasukan dari setiap zon ini merebut gelaran juara keseluruhan dan hadiah wang terkumpul RM180,000 di The Curve, Damansara minggu lalu.

Pada semester lepas, juara keseluruhan disandang oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS), tempat kedua dimenangi oleh Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan tempat ketiga diperoleh oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

XPAXKEK Semester 2 dicetuskan secara eksklusif oleh Celcom XPAX, diaktifkan oleh Legion by Lenovo, Realme Malaysia, Malindo Airways, Honda Malaysia, Rohto Mentholatum, Lazada, Fitlion, Royale Chulan Hotel & OYO Hotels dan disokong oleh MDEC, Mobile Legends E-Project, KBS & ESM.