PES 2020: “Syukur Diberi Peluang Wakili Malaysia,” – Norhaikal

By Hazril Md Nor | January 2, 2020

Pemain e-sukan tempatan, Norhaikal Md Noh tidak mampu menggambarkan rasa syukur selepas memenangi slot ke kejohanan eFootball Pro Evolution Soccer (PES 2020) yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia pada Februari ini.

Dia layak ke Piala Presiden Esports itu selepas memenangi perlawanan antara 32 pemain yang berentap di pusingan kelayakan Malaysia diadakan pada minggu lepas. Turut layak ialah Muhammad Syah Ali yang mendapat tempat kedua.

“Alhamdulillah bersyukur dapat mewakili negara. Perasaan gembira tak terkata lepas menang perlawanan tempoh hari. 

“Rasa tak sabar pun ada untuk harumkan nama Malaysia nanti. Pastinya akan ada cabaran berdepan pemain-pemain dari Asia Tenggara lain,” kata Norhaikal.

Ketika pusingan kelayakan, dia mengakui berdepan cabaran berentap dengan pemain lebih muda.

“Mereka mempunyai corak permainan lebih pantas dan cekap tapi saya gunakan pengalaman bermain di luar negara (Thailand) sebelum ini. Alhamdulillah menang kelayakan ini.

“Kesemua 32 pemain ini antara yang terbaik di Malaysia jadi saya rasa berpuas hati dapat sampai ke tahap ini dan menang,” katanya.

Selain memenangi slot untuk bertanding, pihak penganjur iaitu WEPES Malaysia juga mengatakan segala kos perjalanan akan ditanggung termasuklah makan dan minum.

Norhaikal kini bermain untuk pasukan MS Cerberus di Thailand yang membariskan pemain-pemain PES berbakat.

Menceritakan perjalanan kariernya selepas ini, dia bersama Mohamad Azha (Lohan) akan mewakili negara bermain di Thailand untuk kejohanan e-sukan anjuran Persekutuan Sukan Elektronik Asia (AESF) di China pada 7 hingga 8 Januari ini.

Dia dijangka terbang ke Jakarta, Indonesia bersama Syah untuk Piala Presiden Esports pada 31 Januari ini.

Pemenang bagi kejohanan Piala Presiden Esports ini akan membawa pulang AS$7,000 (RM28,605).