Mobile Legends: Pemain EVOS Legends, Oura Akhirnya Bersara

By Hazril Md Nor | January 29, 2020

Pemain profesional Mobile Legends dari Indonesia, Oura atau nama sebenarnya Eko Julianto akhirnya membuat keputusan untuk bersara dari pentas kompetitif.

Bekas pemain EVOS Legends yang mahir bermain sebagai assassin itu membuat keputusan itu semalam dalam video EVOS TV yang dimuat naik di Youtube.

Antara intipati video tersebut ialah dia belajar banyak perkara mengenai semangat berpasukan, setia kawan, saling bantu membantu walau jatuh bangun bersama pasukan.

Oura yang berusia 20 tahun ini sebenarnya sudah berkahwin dan mungkin ini adalah kemuncak kariernya sebagai pemain profesional.

Dia mempunyai anak perempuan, Aaleyah Syifana Abiyah hasil perkahwinan dengan isteri, Tiora Reiska Alfian pada 2017 lalu.

Sepanjang bersama EVOS, Oura pernah memenangi beberapa kejohanan ternama antaranya juara Liga Profesional (MPL) Indonesia Musim Kelima dan Kejohanan Dunia, M1 yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada November lepas yang mana pasukan Mobile Legends terbaik Indonesia itu membawa pulang sekitar RM330,000.

(Foto: Hitekno.com)