Piala Amal Bosskurr Adalah Inisiatif Terbaru Bantu Golongan Memerlukan

By Hazril Md Nor | February 3, 2020

Piala Amal Bosskurr akan dianjurkan tak lama lagi dan ia akan mengumpulkan pasukan-pasukan Mobile Legends terkenal tanah air antaranya TODAK, Red Esports, MoonChild dari Sabah, Geek Fam dan ramai lagi.

Pengurus Team Bosskurr, Nureddy Nursal mengatakan piala itu akan dianjurkan pada minggu depan tapi masih tak mempunyai tarikh tepat. Eddy juga mengesahkan kejohanan itu akan dianjurkan secara dalam talian dan mungkin mempunyai pusingan penentuan (playoff) yang tersendiri.

Dalam pada itu, pemilik organisasi Red Esports, Anne Raihan akan menyumbangkan RM5,000 bagi membantu mereka yang memerlukan menerusi Piala Amal tersebut.

“Saya perhatikan, tak banyak yang memulakan inisiatif (piala amal) jadi saya fikir sumbangan ini dapat meringankan beban selain membuka mata lebih ramai orang.

“Lebih ramai orang patut tahu e-sukan ini bukan sekadar permainan tapi kita ada satu keunikan (aktiviti sumbangan amal) untuk tarik lebih ramai orang menyertai,” kata Anne.

Ditanya mengenai #NoPlanB yang juga satu inisiatif mulia dari Red Esports, Anne mengatakan ia lebih kepada memupuk nilai kekeluargaan antara pemain.

“NoPlanB adalah satu kem latihan bagi pemain memfokuskan pada objektif paling utama iaitu MPL (liga profesional MLBB).

“Mereka (pemain) sebagai satu keluarga bercerita tentang masalah masing-masing dan menyertai pelbagai aktiviti. Ini adalah persiapan fizikal dan mental sebelum bertanding di kelayakan MPL nanti,” kata Anne. Peminat Red Esports boleh menyaksikan video terbaru #NoPlanB di Instagram rasmi mereka.

Setakat ini, tiada butiran lanjut bagaimana sumbangan amal ini akan dikumpul. Pastinya Bosskurr akan umum info lanjut dalam masa terdekat.