Sony Belanja Hampir RM1 Billion Untuk Membeli Pembangun Spider-Man PS4

By Burhanudin Zamri | February 11, 2020

Insomniac Games merupakan salah satu studio pembangunan permainan video yang terkenal dengan beberapa siri permainan popular seperti Spyro the Dragon dan Ratchet & Clank.

Pada tahun 2018, mereka melancarkan Marvel’s Spider-Man secara eksklusif untuk PlayStation 4 (PS4) dan ia telah menjadi antara permainan paling popular di konsol tersebut.

Dalam laporan kewangan terkini Sony, mereka telah mendedahkan bahawa Insomniac Games dibeli secara sepenuhnya dengan harga AS$229 juta (RM947 juta).

Proses pemerolehan ini disempurnakan pada 15 November 2019 dan kebanyakan jumlah tersebut dibayar secara tunai.

Setakat Ogos 2019, jualan keseluruhan Marvel’s Spider-Man mencecah 13.2 juta salinan. Ini menunjukkan Sony membuat keputusan yang bijak dengan memperolehi Insomniac Games.

Sekuel kepada Marvel’s Spider-Man belum diumumkan tetapi ia semestinya sebuah permainan yang dinanti-nantikan untuk konsol PlayStation 5 (PS5).

Sumber: Komisyen Sekuriti dan Pertukaran A.S.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.