Project G.G. Diumumkan, Permainan Video Diinspirasikan Ultraman

By Burhanudin Zamri | February 28, 2020

Platinum Games ialah sebuah studio pembangun permainan video dari Jepun yang popular dengan permainan hebat seperti Bayonetta dan Nier Automata. Baru-baru ini mereka mengacahkan sebuah judul baru yang sangat menarik.

Pada 26 Februari 2020, Project G.G. diumumkan oleh Platinum Games. Sebuah video acah untuk permainan tersebut dimuat naik ke YouTube dan nampaknya ia diinspirasikan oleh wira gergasi popular iaitu Ultraman.

Hideki Kamiya bertugas sebagai pengarah Project G.G. Sebelum ini, beliau juga menjadi pengarah permainan adiwira Viewtiful Joe dan The Wonderful 101. Permainan ini digambarkan sebagai permainan terakhir dalam trilogi permainan adiwira yang diarahkan oleh Hideki.

Video acah tersebut bermula dengan menunjukkan sebuah bandar yang sedang dimusnahkan oleh seekor raksasa gergasi (kaiju). Seorang lelaki misteri muncul untuk menyelamatkan seekor anjing yang hampir ditimpa bangunan. Selepas itu, lelaki tersebut melakukan transformasi menjadi seorang wira gergasi seperti Ultraman untuk berlawan dengan kaiju.

Pada waktu ini, Platinum Games masih belum menyatakan tarikh pelancaran untuk permainan ini. Maklumat mengenai konsol dan platform untuk permainan ini juga tidak diumumkan.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.