DOTA2: Pemain Indonesia, Whitemon Luah Rasa Kecewa Tidak Dapat Sertai ESL One Los Angeles 2020

By Hazril Md Nor | March 17, 2020

Bagi pemain yang baru meningkat naik, peluang dapat menyertai Major Dota 2 ibarat bulan jatuh ke riba. Tapi bagi Whitemon atau nama sebenarnya Matthew Filemon, 19, dia akui kecewa kerana tidak dapat bertanding di ESL One Los Angeles 2020 yang ditunda baru-baru ini akibat wabak COVID-19.

“Memang rasa sedih sebab ini Major pertama dalam karier tapi saya faham dan terima dengan apa yang berlaku.

“Sebelum ini kami dah menjalani kem latihan (bootcamp) sebelum berlepas ke Los Angeles tapi saya tidak berapa sihat ketika itu. Kami scrim selama dua hari dan terus bersiap ke sana awal untuk elak masalah jet-lag,” katanya.

Kerap menyertai kejohanan Dota 2 di Indonesia sebelum ini bersama EVOS Esports.

Biarpun tidak menyangka hal ini terjadi, Whitemon bersedia menghadapi segala kemungkinan berkaitan pembatalan lebih banyak acara Dota Pro Circuit yang mungkin membawa kepada permasalahan dalam sistem pemungutan mata DPC.

“Impak kepada pemain pro agak besar sebab kita tak boleh kumpul mata DPC dari Majors dan Minors dan pada masa sama akan rasa bosan kerana tidak dapat bermain kejohanan LAN,” jelasnya.

Ketika ditanya pengalamannya bersama Geek Fam (sebelum ini dia bersama EVOS yang kini dibubarkan), Whitemon menganggap pasukan ini sebagai batu loncatan dalam karier profesionalnya.

“Geek Fam adalah pasukan terbaik setakat ini. Malah, mempunyai ahli dari negara berlainan mengajar saya untuk memahami perspektif mereka dan menerima pandangan berlainan.

“Pada mulanya, saya sedikit gementar sebab digandingkan bersama pemain The International (TI). Tapi mereka buat saya rasa selesa dengan lawak jenaka jadi bila main sekali pun kurang tekanan. Memang enjoy lah.

“Saya rasa beruntung dapat bertanding bersama mereka. Banyak ilmu yang dipelajari selain mengajar saya menjadi lebih matang sebagai individu,” katanya.

Dari kiri: Geek Fam diwakili oleh Karl Jayme (Karl), Marc Polo Luis Flato (Raven), Carlo Palad (Kuku), Kenny Deo (Xepher) dan Whitemon.

Pasukan Geek Fam sebelum ini layak ke ESL One Los Angeles 2020 bersama Fnatic dan Team Adroit dalam kolektif pasukan dari Asia Tenggara.

Mereka berjaya menewaskan IO Dota 2 di peringkat semi-final sebelum menyambar slot kedua ke kejohanan berprestij tersebut.

Buat masa ini, masih belum ada kata putus dari Valve berkenaan kejohanan akan datang dalam DPC tapi Major keempat sudah pun dibatalkan. Hal ini akan membantutkan usaha pemain mengejar mata DPC menjelang The International 2020 pada Ogos nanti.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.