Tahun lepas puasa di Shanghai, tahun ni duduk rumah – Miss Farr

By Hazril Md Nor | April 30, 2020

Pemain dan juga penghibur penstriman langsung PUBG Mobile, NorFarah Shahira Mohd Nizam atau Miss Farr mengakui suasana menyambut Ramadan kali ini berbeza berbanding tahun lalu.

Katanya, dia bersama bekas ahli pasukan Junior Talent dan juga pasukan Malaysia lain menyambut bulan mulia itu di Shanghai, China tahun lalu.

“Walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga untuk menyertai PMCO di Shanghai, China,  ketika itu masih ada kawan-kawan sekeliling. Masa tu pun, ada kebebasan untuk keluar ke mana-mana.

“Sekarang ni satu dugaan buat saya kerana terpaksa berjauhan bersama keluarga sekali lagi dan berada di Kuala Lumpur. Disebabkan tuntutan kerja dan tidak sempat balik ketika PKP dilaksanakan, saya terpaksa menetap di ibu kota,” katanya.

Biarpun berdepan situasi demikian, dia tetap menghubungi keluarganya ketika berbuka.

“Saya memang tak pernah ketinggalan berhubung dengan keluarga. 

“Kalau ingat-ingat balik, memang rindu sediakan juadah dengan mak, masuk dapur tolong mak memasak. Pergi ke bazaar beli Murtabak, Nasi Kerabu dan Tepung Pelita. Memang rindu suasana tu semua

“Tapi ada hikmahnya, ia buatkan saya belajar berdikari dan menghargai keluarga. Dah duduk berjauhan baru kenal erti susah,” katanya.

Disebabkan bulan Ramadan yang panjang, Miss Farr juga mengubah waktu strim di page Facebook miliknya bermula jam 12 tengah malam hingga ke sahur.

“Yang kelakarnya, ramai yang menunggu di strim untuk tengok saya sahur. Memang terhibur dibuatnya.

“Bagi anda semua, memang sekarang saya aktif strim PUBG Mobile tapi saya juga sedang berusaha mencari keserasian bersama pasukan baru.

“Saya cuba untuk kembali ke arena kompetitif kembali. Doa lah yang baik-baik!,” katanya.

Ketika ditanya apa rahsia mengekalkan peminat setia biarpun sudah ‘rehat’ sebentar dari arena kompetitif, kata Miss Farr, dia banyak berinteraksi bersama peminat.

“Saya suka baca komen dan pasang lagu Tik Tok! Kadang-kadang tu ada juga rakam buat aksi-aksi dalam Tik Tok. Ramai yang suka,” katanya ketawa.

Tahun lalu, Miss Farr bersama pasukan PUBG Mobile disertainya, Junior Talent layak ke liga Asia Tenggara PUBG Mobile Club Open (PMCO) di mana mereka bertarung selama lima minggu.

Pasukannya bagaimanapun tidak berjaya lolos ke Grand Final Asia Tenggara di Jakarta, Indonesia apabila memperoleh kedudukan ke-22 dalam liga tersebut.