Yoodo Gank, AROV Esports serta Geek Fam dijemput terus ke Razer SEA Invitational 2020

By Hazril Md Nor | June 5, 2020

Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) akan menguruskan serta menjalankan pemilihan atlet-atlet e-sukan bagi menyertai Razer SEA Invitational 2020 yang akan berlangsung secara dalam talian bermula 22 Jun hingga 12 Julai ini.

Terdapat tiga kategori e-sukan akan dipertandingkan iaitu PUBG Mobile, Dota 2 dan Mobile Legends: Bang Bang.

Bagi kategori PUBG Mobile, dua pasukan menerima jemputan terus iaitu Yoodo Gank (selaku juara PMPL Asia Tenggara 2020) dan AROV Esports (dulunya dikenali sebagai Bigetron AROV) dan bagi Mobile Legends pula, Geek Fam akan mewakili selaku naib juara di Liga Profesional MLBB Malaysia dan Singapura (MPL) Musim Kelima.

Sementara itu, bagi Dota 2, akan dijalankan pusingan kelayakan oleh ESM pada 13 Jun dan 14 Jun depan untuk mencari pasukan yang layak. Dalam kelayakan tersebut juga, ESM menyatakan empat pasukan Dota 2 sudah pun dijemput (seeded teams).

Nantikan link penyertaan Dota 2 yang akan dipostkan di Facebook rasmi Esports Malaysia kelak.

Menurut Presiden ESM, Dato’ Ananth S. Nathan, Razer SEA-I 2020 merupakan satu wadah untuk mengetengahkan potensi serta bakat atlet-atlet sukan elektronik tempatan. Tambahan pula, pertandingan tersebut merupakan persediaan bagi atlet-atlet tempatan sebelum mewakili negara dalam Sukan SEA 2021 yang bakal berlangsung di Vietnam kelak.

ESM turut dibantu oleh The Gaming Co. (‘TGC’), selaku Rakan Penyampai Rasmi bagi sesi pemilihan atlet Dota 2 dan WULF Esports selaku Penaja Media Grafik sepanjang pertandingan tersebut berlangsung.

Turut membantu di dalam memperkukuhkan lagi persediaan pasukan negara adalah saudara Aiman Kamal sebagai Penasihat Luar bagi kategori MLBB, saudara Kevin Wong Yew Joon sebagai Penasihat Luar bagi kategori PUBG Mobile dan saudara Teng Dawei sebagai Penasihat Luar bagi kategori Dota 2.