Control: Ultimate Edition diumumkan, pemilik versi konsol tidak puas hati

By Burhanudin Zamri | August 13, 2020

505 Games telah mengumumkan Control: Ultimate Edition dan ia akan dilancarkan di Steam pada 27 Ogos ini. Versi ini mengandungi semua kandungan tambahan Control termasuk The Foundation dan AWE.

Bagi anda yang bermain di konsol, tidak perlu risau. Control: Ultimate Edition juga akan dilancarkan di PlayStation 4 (PS4), PlayStation 5 (PS5), Xbox One, dan Xbox Series X.

Berikut adalah penerangan yang diberikan oleh 505 Games mengenai tarikh pelancaran Control: Ultimate Edition di konsol:

  • Versi digital PS4, Xbox One, dan Epic Games Store akan dilancarkan pada 10 September.
  • Versi fizikal PS4 dan Xbox One akan dilancarkan pada penghujung tahun ini.
  • Versi digital PS5 dan Xbox Series X akan dilancarkan pada penghujung tahun ini.
  • Versi fizikal PS5 dan Xbox Series X akan dilancarkan pada awal tahun 2021.

Satu perkara yang membuatkan ramai peminat Control kurang puas hati ialah akses untuk naik taraf percuma dari versi PS4 dan Xbox One ke PS5 dan Xbox Series X hanya diberikan kepada pemilik Control: Ultimate Edition.

Bagi anda yang telah membeli Control versi asal secara digital di PS4 dan Xbox One, permainan anda tidak akan dinaik taraf ke versi PS5 dan Xbox Series X secara percuma.

Remedy Entertainment dan 505 Games tidak memberikan penjelasan mengapa perkara ini dilakukan. Oleh itu, beberapa pemain konsol Control mempercayai bahawa keputusan anti-pengguna ini dibuat untuk mendapatkan keuntungan yang lebih banyak.

Penulis mengharapkan Remedy Entertainment dan 505 Games mengubah fikiran mereka dan membenarkan pemilik versi asal Control di PS4 dan Xbox One juga diberikan peluang untuk naik taraf ke versi konsol baharu secara percuma.

Sumber: 505 Games

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.