MPL: “Saya hanya menunggu Visa untuk ke Indonesia,” – Rippo

By Hazril Md Nor | August 18, 2020

Persoalan mengapa Muhammad Arif Abdul Halim atau Rippo yang tidak bermain untuk Bigetron Alpha pada minggu pertama Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL Indonesia) musim keenam akhirnya terjawab. 

Kata pemain negara ini, dia masih menunggu Visa untuk ke Indonesia yang dijangka siap pada bulan ini.

“Ikutkan pada awalnya memang dah main sebab dalam lineup pertama tapi Visa tak sempat disiapkan jadi pemain lain ganti.

“Insya-Allah status Visa tersebut dapat diketahui dalam masa terdekat,” katanya.

Menurutnya, perjalanannya setakat ini bersama pasukan Bigetron Alpha banyak mengajar perkara baru.

“Dari segi komunikasi dan mekanisme permainan jadi lebih baik.

“Kalau saya ada dekat sana nanti, lebih senang untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Biasanya tak ada masalah berbeza bahasa kerana saya boleh faham sedikit Bahasa Indonesia.

“Mereka menggunakan istilah-istilah yang pada mulanya saya tak faham tapi selepas lama main bersama, saya sudah terbiasa,” katanya.

MPL Indonesia sudah memulakan musim liganya pada minggu lalu (14 Ogos). Sebanyak lapan pasukan bertarung merebut hadiah terkumpul RM1.2 juta.

Setakat ini, Bigetron Alpha berada di kedudukan ketiga dengan satu set kemenangan dan satu kekalahan.

Juara Mobile Legends Professional League Invitational (MPLI), RRQ pula masih meneruskan rentak cemerlang mereka dengan kemenangan dua set setakat ini dengan point agregat +4.

Perlawanan musim liga MPL Indonesia boleh disaksikan di Youtube rasmi mereka ataupun Facebook. 

Ikuti kami di Facebook, Twitter dan Instagram. Saksikan kami di YouTube.