No Straight Roads: kedai nasi campur dan unsur-unsur Malaysia lain dalam game ini

By Burhanudin Zamri | September 1, 2020

Permainan video buatan Malaysia No Straight Roads yang dibangunkan oleh studio tempatan Metronomik akhirnya dilancarkan pada minggu lepas. Ia merupakan permainan aksi berirama di mana anda bermain sebagai dua orang pemain muzik rock yang perlu menewaskan empayar EDM yang zalim terhadap penduduk bandar Vinyl City.

Sebagai salah satu permainan video PC, PlayStation 4 (PS4), Nintendo Switch, dan Xbox One yang dibangunkan oleh pembangun tempatan, No Straight Roads mempunyai banyak butiran-butiran yang menunjukkan ia memang dihasilkan oleh warganegara Malaysia.

Kalau anda belum mencuba No Straight Roads dan ingin tahu apakah unsur-unsur ke-Malaysia-an yang ada dalam permainan ini, jom baca artikel ini!

 

Kedai nasi campur dan roti canai

Elemen utama yang menunjukkan No Straight Roads permainan buatan Malaysia ialah kedai makan yang terletak berdekatan tempat tinggal dua watak utama Mayday dan Zuke.

Para pemain akan menemui kedai makan ini pada tahap awal permainan kerana ia adalah lokasi pertama yang ditemui selepas meninggalkan kawasan pembentung yang dijadikan HQ Mayday dan Zuke.

Kedai makan ini dimiliki oleh seorang watak bernama Aunty yang sememangnya berperwatakan seperti seorang makcik gerai makanan yang sering ditemui di Malaysia.

Di kedai makan tersebut terdapat lauk-lauk nasi campur dan juga meja tebar roti canai. Terdapat dua tong gas berwarna merah hijau di belakang meja tebar roti canai tersebut dan ia mirip seperti kebanyakan tong gas di negara ini.

 

Anggota polis

Antara pelanggan tetap kedai makan Aunty ialah seorang anggota polis bernama Azma. Pakaian seragamnya mirip seperti pakaian seragam polis di Malaysia.

Apabila bercakap dengan Mayday dan Zuke, dia sering merungut tentang kesusahannya untuk mendapatkan cinta dalam kehidupan.

 

Dikir Barat

Salah seorang watak bos dalam No Straight Roads ialah DK West. Namanya sudahpun membawa maksud dikir barat apabila diterjemahkan ke Bahasa Melayu. Dia merupakan abang kepada watak Zuke dan kepakarannya ialah gabungan muzik rap dan dikir barat.

Dia merupakan satu-satunya watak yang bercakap dalam Bahasa Melayu hampir sepenuhnya. Dia juga memakai inai di kedua-dua tangan dan kakinya.

 

Wayang Kulit

Selain daripada menonjolkan dikir barat, DK West juga merupakan watak yang membawa elemen wayang kulit ke No Straight Roads.

Dalam perlawanan bos DK West, pemain harus menewaskan patung wayang kulit DK West selepas berjaya melepasi fasa rap. Patung wayang kulit tersebut digambarkan sebagai seekor kerbau atau raksasa bertanduk.

 

Papan tanda dwibahasa

Terdapat banyak papan tanda kedai di Vinyl City yang sebenarnya mempunyai maksud lucu dan menarik jika pemain memahami Bahasa Melayu.

Antara papan tanda menarik yang boleh ditemui adalah Mesintari Studio dan Sukadenki. Mesintari bermaksud “dance machine” dalam Bahasa Inggeris dan Sukadenki pula tidak memerlukan penerangan bagi anda yang memahami maksudnya.

 

Gerai kopi tepi jalan

Walaupun Vinyl City tidak mempunyai gerai-gerai kopi yang biasa dibuka di seluruh Malaysia, meja dan kerusi plastik kedai kopi dapat dilihat di sekitar bandar tersebut.

 


Perkara-perkara di atas bukan senarai lengkap unsur-unsur negara Malaysia yang ada dalam No Straight Roads. Semua ini cuma apa yang ditemui oleh penulis. Kemungkinan besar masih ada banyak butiran-butiran kecil yang penulis tidak perasan.

Jika anda menemui butiran-butiran lain yang menarik, pastikan anda berkongsi tentangnya di media sosial!

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.