PS5 atau gaming PC dengan kad grafik GeForce RTX? Mana lebih berbaloi?

By Burhanudin Zamri | September 2, 2020

Nvidia akhirnya telah mendedahkan kad grafik siri baharu mereka iaitu GeForce RTX 3000 yang menggunakan seni bina Ampere. Tiga model yang telah diumumkan baru-baru ini adalah RTX 3090, 3080, dan 3070.

Ketiga-tiga kad tersebut akan dilancarkan pada bulan ini dan bulan Oktober. Sejurus selepas itu, konsol Sony terbaru iaitu PlayStation 5 (PS5) pula dianggarkan akan dilancarkan pada bulan November.

Persoalan yang sama semestinya sedang bermain dalam minda penggemar-penggemar permainan video di Malaysia: Lebih berbaloi beli gaming PC atau PS5?

Walaupun kedua-duanya masih belum dilancarkan, jawapan untuk soalan ini boleh dijawab dengan mudah apabila mengambil kira setiap kekuatan dan kelemahan PC dan konsol. Hal ini demikian kerana unsur-unsur penting kedua-duanya tidak berubah dengan ketara pada setiap generasi.

Dalam artikel ini, penulis akan cuba membantu anda membuat keputusan sama ada untuk menyimpan duit untuk PS5 atau PC dengan menyenaraikan faktor-faktor penting dua platform tersebut.

Jom kita mulakan dengan faktor paling penting:

 

Harga

Pada waktu ini, Sony masih belum mendedahkan harga rasmi PS5. Oleh itu, penulis akan menggunakan anggaran yang diberikan oleh Paul Tassi dari Forbes dan Takashi Mochizuki dari Bloomberg.

Paul mempercayai PS5 dan Xbox One X akan dijual pada harga AS$500 (RM2,100). Takashi pula melaporkan bahawa kos pembuatan satu unit PS5 adalah sekitar AS$450 (RM1,900) dan beliau berpendapat Sony perlu menjual konsol tersebut pada harga AS$470 (RM2,000) untuk mendapatkan kadar keuntungan yang sama seperti jualan PlayStation 4 (PS4).

Kita juga harus mengambil kira kewujudan PS5 versi digital-sahaja yang tidak mempunyai pemacu cakera optik. Ia semestinya akan dijual pada harga yang lebih murah berbanding versi biasa.

Jika PS5 versi biasa akan dijual pada harga sekitar RM2,000, mungkin PS5 versi digital-sahaja akan dijual pada harga sekitar RM1,700. Penulis akan gunakan anggaran ini dalam artikel ini.

Sekali lagi, penulis ingin menegaskan ini semua sekadar anggaran dan bukan nilai sebenar.

Untuk gaming PC pula, kita tidak perlu membuat tekaan atau anggaran kerana harga rasmi untuk kad grafik Nvidia GeForce RTX 3080 dan RTX 3070 telahpun diumumkan.

Walaubagaimanapun, pembaca harus ingat bahawa Nvidia hanya menyatakan harga runcit untuk versi Founders Edition dan bukan harga untuk model yang akan dikeluarkan oleh syarikat-syarikat rakan kongsi seperti EVGA, ASUS, Zotac, dan banyak lagi.

Kad Nvidia GeForce RTX 3080 Founders Edition akan dilancarkan pada 24 September dan dijual pada harga AS$699 (RM2,900). Nvidia GeForce RTX 3070 pula akan dilancarkan pada bulan Oktober dan akan dijual pada harga AS$499 (RM2,100).

Adakah ini bermaksud kita akan membandingkan gaming PC yang menggunakan RTX 3070 dengan PS5? Tidak semestinya!

Kita perlu ingat bahawa setiap kali teknologi baru dikeluarkan, versi yang lama akan diturunkan harga. Oleh itu, kad grafik siri Nvidia GeForce RTX 2000 seperti RTX 2080, 2070, dan 2060 akan menjadi lebih murah, lagi-lagi dalam pasaran terpakai.

Kad RTX 2060 sudah mencukupi untuk main permainan AAA pada tetapan 1080p dan 120FPS. Pada waktu ini, harga unit baru RTX 2060 ialah sekitar RM1,500 dan kemungkinan besar ia akan turun menjadi sekitar RM1,200.

Untuk pengalaman permainan 4K 60FPS, anda memerlukan sekurang-kurangnya kad RTX 2070 Super. Unit baru kad ini berharga sekitar RM2,500. Penulis menganggarkan ia akan diturunkan menjadi sekitar RM2,000 kerana penulis menganggarkan RTX 3070 akan dijual pada harga sekurang-kurangnya RM2,300 apabila tiba di Malaysia.

Penjualan Nvidia GeForce RTX 2060 dan RTX 2060 Super pada waktu ini (2 September 2020).

PS5 diiklankan sebagai konsol yang boleh dimain pada resolusi 4K. Oleh itu, ia lebih adil untuk dibandingkan dengan PC yang sekurang-kurangnya dipasang dengan kad RTX 2070 Super.

Tidak dapat dinafikan bahawa harga sebuah gaming PC yang dipasang RTX 2070 Super (walaupun unit terpakai dibeli) tetap lebih mahal daripada PS5.

Penulis yakin ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Dari dulu hingga sekarang, konsol memang lebih murah berbanding PC dan keputusan yang sama dicapai kali ini.

PS5 kemungkinan besar lebih murah daripada gaming PC yang mempunyai kemampuan yang lebih kurang sama.

 

Pengalaman permainan

Cyberpunk 2077

Satu perkara yang membuatkan pemain PC kurang gemar bermain di konsol ialah kelemahan konsol dari segi spesifikasi. Hampir semua permainan di konsol generasi kini (PS4 dan Xbox One) dimain pada kadar 30FPS dan dipaparkan pada resolusi dinamik.

Resolusi dinamik bermaksud resolusi akan diturunkan apabila perkara-perkara visual berat berlaku semasa permainan. Teknik ini digunakan untuk memastikan kadar 30FPS dapat dikekalkan.

Perkara ini tidak menjadi masalah bagi ramai pemain konsol yang memang sudah terbiasa dengan permainan pada kadar 30FPS. Bagi mereka yang sudah biasa main pada kadar 60FPS atau lebih tinggi, perbezaannya boleh menjadi sesuatu yang menjengkelkan.

Sony tidak mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan PS5 mampu main pada resolusi 4K dan kadar 60FPS tetapi satu permainan yang telah disahkan boleh dimain pada tetapan itu ialah Spider-Man: Miles Morales.

Spider-Man: Miles Morales menggunakan enjin yang sama dengan Marvel’s Spider-Man yang dilancarkan untuk PS4. Oleh itu, ia bukan sesuatu yang sangat mengagumkan.

Ratchet & Clank: Rift Apart

Ratchet & Clank: Rift Apart ialah satu permainan yang boleh dikatakan sebagai permainan generasi seterusnya kerana ia menggunakan enjin baharu dan teknologi pencahayaan ray-tracing.

Menurut Insomniac Games, permainan mereka itu akan mempunyai dua tetapan iaitu 4K 30FPS dan 60FPS pada resolusi yang lebih rendah. Ini menunjukkan PS5 masih perlu melakukan beberapa pengorbanan untuk mencapai 60FPS.

Bagaimana pula jika anda merancang untuk kekal menggunakan televisyen 1080p atau monitor 1440p?

Dalam situasi sebegitu, penulis yakin anda tidak perlu risau kerana anda mesti boleh main setiap permainan pada resolusi tertinggi bersama kadar bingkai yang tinggi. 1080p 120FPS? Penulis rasa PS5 boleh melakukannya.

Memang benar anda tidak menggunakan sepenuhnya kuasa PS5 dalam situasi ini tetapi televisyen 4K bukan sesuatu yang murah dan penulis berpendapat pengalaman bermain pada resolusi 1080p sudah cukup memuaskan.

Total War: Three Kingdoms

Kekuatan gaming PC yang hebat terletak pada kebolehannya untuk main hampir semua permainan video pada tetapan grafik tertinggi sambil mengekalkan kadar bingkai yang tinggi dan lancar.

Anda juga menerima kelebihan untuk membuat modifikasi atau modding dalam permainan-permainan PC. Ini boleh menjadikan permainan anda jauh lebih menarik seperti memasukkan kenderaan baharu dalam Grand Theft Auto (GTA) V atau mod permainan unik dalam mana-mana judul siri Total War.

Ada banyak lagi contoh modding yang menarik dan ramai pemain PC tidak pernah lupa menyenaraikan modding sebagai satu kekuatan besar PC.

Motosikal Yamaha Y15ZR dalam GTA V. (Mod dimuat naik oleh thort)

Pengalaman permainan 4K 60FPS lebih mudah dicapai untuk banyak permainan video jika dimain di gaming PC. Malangnya, gaming PC yang berkuasa sebegitu akan memerlukan pelaburan wang yang agak tinggi.

Penulis menganggarkan anda perlu membina PC (dengan komponen-komponen baharu) bernilai sekurang-kurangnya RM7,000 untuk bermain pada tetapan 4K 60FPS. Pembelian komponen-komponen terpakai mungkin mengurangkan sebanyak RM1,000 hingga RM2,000.

Bagi golongan yang tidak kisah untuk bermain pada tetapan 1080P 60FPS atau 1080P 30FPS, anda boleh membina PC yang berharga sekurang-sekurangnya RM3,500 dengan komponen-komponen baharu.

Kalau anda bijak mencari komponen terpakai, anda boleh membina gaming PC 1080P 60FPS pada tanda harga RM3,000 atau lebih rendah.

Control

Kesimpulannya, tepuk dada tanya selera. Jika anda mementingkan pengalaman permainan yang paling memuaskan, keputusan yang betul ialah untuk melaburkan wang dalam sebuah gaming PC.

Untuk mereka yang hanya mahu main permainan video dan tidak mahu banyak berfikir tentang perkara-perkara remeh, lebih baik memilih konsol dan tidak semestinya PS5. PS4 Pro pun sudah cukup bagus jika belum pernah memilikinya.

 

Katalog permainan

Faktor terakhir ini merupakan faktor yang paling penting bagi sesetengah orang. Tidak kisah sama ada PS5 atau PC lebih berkuasa. Persoalannya ialah platform mana yang mempunyai katalog permainan yang lebih menyeronokkan.

Setiap platform mempunyai permainan eksklusif yang dikeluarkan untuk membuatkan platform tersebut menjadi pilihan yang lebih popular.

Para peminat adiwira Spider-Man mahu atau tidak perlu membeli konsol PlayStation kerana Sony telah membuat perjanjian bersama Disney untuk hak eksklusif permainan Spider-Man.

Sony juga gigih mengeluarkan banyak permainan pihak pertama yang hebat seperti Ghost of Tsushima, God of War, Horizon Zero Dawn (kini sudah ada versi PC), dan banyak lagi.

Selain itu, ada juga beberapa permainan di mana Sony memperoleh hak eksklusif bertempoh setahun seperti Final Fantasy VII Remake dan Death Stranding. Pada masa depan, Sony semestinya akan melakukan lagi perkara yang sama untuk memasarkan PS5.

Pemilik PS4 juga tidak perlu risau tentang permainan-permainan yang mereka telah beli kerana PS5 disahkan boleh main permainan PS4.

Gambar daripada AP/Damian Dovarganes.

Untuk pihak PC pula, permainan eksklusif adalah berdasarkan genre dan bukan studio pembangunan. Contoh paling jelas ialah permainan strategi seperti siri Total War, Sid Meier’s Civilization, dan banyak lagi.

Kebanyakan permainan simulasi juga paling sesuai dimain di PC. Antara contoh-contoh popular adalah Microsoft Flight Simulator, siri The Sims, Cities: Skylines, Zoo Planet, dan macam-macam lagi.

Satu lagi faktor penting yang perlu diambil kira ialah harga permainan. Pada zaman ini, permainan PC boleh dikatakan sepenuhnya dijual secara digital. Ini membuatkan kebanyakkan permainan PC yang dijual di platform seperti Steam dan Epic Games Store menjadi sangat murah berbanding permainan konsol.

Kalau anda minat mengumpul permainan versi fizikal, semestinya PS5 dan PS4 pilihan yang lebih sesuai berbanding PC.

Sebagai contoh, Wasteland 3 yang dilancarkan baru-baru ini dijual pada harga RM265 di PlayStation Store Malaysia. Di Steam pula, ia hanya berharga RM95.

Pemain PC juga bertuah kerana Epic Games Store masih kekal dengan promosi permainan percuma pada setiap minggu dan Steam pula mengadakan jualan pada setiap hari. Sangat mudah untuk pemain PC mendapatkan banyak permainan baharu dan lama pada harga bawah RM100.

Sebagai seorang yang memiliki gaming PC dan juga PS4, penulis sejujurnya berpendapat menjadi seorang pemain PC lebih menjimatkan dari segi pembelian permainan.

Penulis rasa aritkel sudah cukup panjangnya untuk menerangkan pendapat-pendapat penulis mengenai topik ini. Masih ada perkara-perkara yang belum disenaraikan tetapi ketiga-tiga faktor di atas sudah cukup untuk membuat pilihan.

Benar, PC juga mempunyai satu lagi kelebihan besar iaitu ia boleh digunakan untuk kerja dan aktiviti-aktiviti lain seperti penyuntingan video dan gambar, dan macam-macam lagi. Penulis cuma rasa perkara itu sudah terang lagi bersuluh bagi semua pembaca, oleh itu ia tidak perlu diberi fokus.

Pendek kata, belilah PC jika anda berkemampuan dan mahukan mesin yang boleh main permainan video dengan hebat dan pada waktu yang sama melakukan banyak lagi perkara lain.

Belilah konsol jika anda hanya mahu main permainan video dan tidak terlalu mementingkan butiran-butiran seperti resolusi, kadar bingkai, dan sebagainya.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.