[Review] Mafia: Definitive Edition – sebuah remake yang sangat mantap

By Burhanudin Zamri | September 30, 2020

Kod ulasan disediakan oleh 2K Games.

Mafia pada asalnya dilancarkan pada tahun 2002 untuk PC, PlayStation 2, dan Xbox. 18 tahun kemudian, Hangar 13 dan 2K Games mengembalikan permainan ini dengan sebuah remake bertajuk Mafia: Definitive Edition. Adakah remake ini versi terbaik judul tersebut yang lama ditunggu para peminat Mafia?

Penulis sendiri tidak pernah berpeluang bermain Mafia versi asal. Oleh itu, tiada perbandingan tepat atau sebarang kenikmatan nostalgia dapat diceritakan. Walaubagaimanapun, ulasan ini tetap penting kerana penulis yakin ramai juga pemain di luar sana berada dalam keadaan yang sama seperti penulis dan mereka tidak pasti sama ada Mafia: Definitive Edition berbaloi atau tidak.

Ulasan ini dibuat menggunakan versi PC permainan tersebut dan bukan versi konsol yang dilancarkan untuk PlayStation 4 (PS4) dan Xbox One.

 

Jalan cerita kehidupan Mafia yang ditulis dan disusun dengan baik

Jalan cerita yang ditonjolkan dalam Mafia: Definitive Edition adalah sama dengan jalan cerita versi asal. Penambahbaikkan kualiti grafik membenarkan pihak pembangun untuk menciptakan penampilan watak yang lebih realistik dan menggunakan sudut-sudut kamera yang membuatkan setiap cutscene tampak seperti filem drama jenayah hebat.

Dalam permainan ini, kita bermain sebagai Thomas “Tommy” Angelo dan kisahnya bermula sebagai seorang pemandu teksi yang terpaksa membantu dua orang ahli keluarga jenayah Salieri iaitu Sam dan Paulie. Di situlah bermulanya penglibatan Tommy dengan keluarga jenayah tersebut dan tidak lama kemudian dia juga menjadi ahli baharu keluarga jenayah Salieri.

Terdapat macam-macam perkara yang perlu dilakukan oleh Tommy untuk mendapatkan kepercayaan ketua keluarga jenayah tersebut iaitu Don Salieri dan ini memberikan peluang kepada pemain untuk melakukan pelbagai misi menarik seperti menjadi pemandu kereta lumba, merompak bank, dan banyak lagi.

Perjalanan Tommy dalam kehidupan sebagai seorang penjenayah ialah sebuah kisah yang penuh dengan persahabatan, kesetiaan, kelucuan, cinta, dan seperti banyak filem-filem gengster hebat; kesedihan. Pendek kata, ia merupakan sebuah jalan cerita yang boleh dinikmati oleh sesiapa sahaja, lagi-lagi peminat filem gengster seperti penulis.

Untuk menghabiskan semua misi-misi permainan ini, penulis mengambil masa sekitar 12 jam sahaja tetapi masa berlalu dengan amat pantas apabila bermain permainan ini kerana ia ditulis dan disusun dengan bagus sehingga penulis sering tidak sedar beberapa jam sudah berlalu ketika bermain.

 

Dunia terbuka tetapi permainan linear

Satu ciri unik tentang Mafia: Definitive Edition ialah sebenarnya mempunyai sebuah peta dunia terbuka tetapi dalam mod permainan utama, pemain tidak diberikan kebebasan untuk menerokai dunia tersebut. Apabila kita selesai melakukan satu misi, kita akan terus memulakan misi yang seterusnya.

Pada pendapat penulis, ini merupakan satu aspek yang mempunyai kelebihan dan juga kelemahan. Kelebihannya ialah susunan jalan cerita tidak diganggu langsung dan pemain dapat menikmati jalan cerita secara konsisten. Kelemahannya pula ialah ia merupakan satu kemungkinan yang dibazirkan. Hangar 13 berpeluang untuk memasukkan pelbagai kandungan baharu seperti misi-misi sampingan yang boleh dilakukan antara misi-misi utama.

Terdapat tiga ciri permainan utama iaitu pemanduan, penembakan, dan penyelinapan. Kebanyakan misi menggunakan formula yang sama iaitu anda akan memandu ke sebuah destinasi, bertempur atau menyelinap di lokasi tersebut, dan akhir sekali melarikan diri dan memandu ke lokasi selamat.

Empat tetapan kesusahan, tetapan realisme pemanduan, tetapan realisme sikap polis, dan banyak tetapan lain memastikan pemain diberi kebebasan dalam menentukan pengalaman permainan. Jika anda lebih suka mengikut undang-undang jalan raya dan memandu mengikut had laju, anda boleh mengaktifkan tetapan tersebut.

Aspek penyelinapan amat ringkas, anda hanya perlu tunduk dan berlindung di belakang dinding atau apa-apa objek untuk memastikan anda tidak dikesan. Aspek ini boleh dikatakan sebagai aspek paling lemah dalam permainan ini tetapi jangan risau, tidak ada banyak misi yang memerlukan anda untuk menyelinap.

Jika anda pernah main Grand Theft Auto V, anda akan selesa dengan permainan penembakan dalam Mafia: Definitive Edition. Ia berfungsi hampir sama. Malangnya, permainan ini tidak membenarkan pemain untuk membeli senjata-senjata sendiri. Oleh itu, anda perlu menggunakan senjata yang sudah disediakan dan hanya boleh mendapatkan senjata baharu daripada musuh-musuh yang telah dibunuh.

Formula sebegini sudah banyak dipertunjukkan dalam permainan-permainan dunia terbuka lain seperti Grand Theft Auto V dan Sleeping Dogs. Walaupun sedikit membosankan, tempoh permainan pendek yang diperlukan untuk menghabiskan jalan cerita Mafia: Definitive Edition memastikan ia tidak menjadi terlalu membosankan.

Terdapat satu mod permainan dipanggil Free Ride yang membenarkan anda menerokai dunia terbuka permainan ini iaitu bandar Lost Heaven. Dalam mod permainan ini, anda boleh memilih kereta dan senjata yang ingin digunakan. Anda juga boleh memandu teksi untuk melakukan kerja pemandu teksi. Selain itu, terdapat juga misi-misi rahsia yang perlu ditemui oleh pemain sendiri.

 

Perbezaan langit dan bumi berbanding grafik dan audio versi asal

Tarikan utama Mafia: Definitive Edition untuk peminat veteran versi asal ialah penambahbaikkan kualiti grafik dan audio dan penulis memberi pujian tinggi kepada Hangar 13 kerana mereka telah berjaya membuat satu remake yang sangat hebat.

Kualiti grafik yang dipertonjolkan sangat realistik dan ia menyampaikan suasana kehidupan zaman 30’an yang sempurna. Tekstur pakaian-pakaian semua watak nampak cantik dan pantulan cahaya di permukaan-permukaan seperti kereta dan lopak air nampak realistik.

Dari segi kualiti audio pula, penulis rasa keputusan pihak pembangun untuk merakam semula semua lakonan suara ialah satu keputusan bagus. Semua pelakon suara memberikan persembahan yang sangat bagus dan Andrew Bongiorno, pelakon suara Tommy, patut diberikan anugerah kerana lakonannya penuh dengan emosi.

Penulis tidak dapat memberi pendapat tentang kestabilan versi PS4 dan Xbox One tetapi versi PC sememangnya tidak mempunyai apa-apa masalah besar. Dari mula hingga akhir permainan, penulis hanya berhadapan beberapa isu fizik dan terdapat dua tiga kali pada fasa awal permainan di mana ia akan beku buat beberapa minit apabila menggunakan menu tetapan.

 

Sempurna untuk peminat baharu dan lama

Pendek kata, Mafia: Definitive Edition ialah satu remake yang sangat bagus. Sejujurnya, penulis merasakan ia adalah salah satu remake paling hebat yang dikeluarkan pada generasi ini, seperti Shadow of the Colossus dan Final Fantasy VII Remake.

Tidak kira sama ada anda ialah peminat Mafia yang mahu kembali semula ke Lost Heaven atau pemain baharu yang kini berminat menjadi seorang ahli Mafia, permainan ini pasti disukai oleh kebanyakan pemain.

Selepas tamat permainan Mafia: Definitive Edition, penulis sendiri memahami sepenuhnya pengajaran utama yang ingin disampaikan iaitu “keluarga adalah segala-segalanya” kerana harta dan rakan-rakan akan meninggalkan kita tetapi keluarga kekal bersama kita selama-lamanya. Kebolehan untuk menyampaikan pengajaran ini dengan berkesan adalah petanda jalan cerita permainan video yang hebat.

 

Kekuatan:

  • Jalan cerita Mafia yang menarik dan menyayat hati
  • Permainan yang mudah difahami dan menyeronokkan
  • Skrip dan lakonan suara sangat hebat

Kelemahan:

  • Tempoh permainan sedikit pendek
  • Tiada kandungan sampingan yang banyak, fokus hanya diberikan kepada misi-misi utama

SKOR AKHIR: 80/100