#PelanEsukanNasional: Kejohanan E-Sukan Malaysia pada November ini

By Hazril Md Nor | October 1, 2020

Impact Integrated, sebuah konglomerat sosial di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) akan menganjurkan Kejohanan E-Sukan Malaysia menerusi inisiatif Esports Integrated (ESI), Fasa 1 dijangka pada November ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmed Faris Amir berkata, pihaknya akan membuka peluang kepada atlet e-sukan di bandar dan luar bandar untuk menyertainya.

“Di bawah pelan Litar E-Sukan Malaysia, kejohanan yang akan diadakan pada peringkat kebangsaan ini dijangka bermula pada November.

“Selain itu, terdapat liga e-sukan Malaysia yang mana penyertaan dari pelbagai tahap pendidikan dari sekolah hinggalah ke universiti. Pelan ini seawalnya pada tahun depan,” katanya ketika majlis pelancaran ESI di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur, petang tadi.

Menurutnya lagi, Impact Integrated akan bekerjasama dengan lebih ramai pihak dan pemain industri dalam e-sukan untuk mencapai visi ekosistem e-sukan yang lebih mampan.

Tambah Faris, Impact Integrated dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) akan bekerjasama untuk program-program akan datang. 

“MESF sudah mempunyai kewujudan di setiap negeri dan kami akan bekerjasama dengan mereka untuk mendekati komuniti e-sukan di peringkat akar umbi.

“Impact dan MESF juga bukanlah entiti yang sama jadi kami tak ambil alih tugas (peranan) mereka sedia ada dalam e-sukan,” katanya.

Faris berkata, Impact akan terus memantau permasalahan dalam e-sukan dan mengatur polisi dalam e-sukan ke tahap yang lebih baik.