Antaramuka pengguna PS5 ditunjukkan oleh Sony

By Burhanudin Zamri | October 16, 2020

Sony Interactive Entertainment (SIE) baru-baru ini memuat naik video yang menunjukkan pengalaman pengguna dan antaramuka pengguna di PlayStation 5 (PS5). Ini adalah kali pertama antaramuka konsol tersebut dipertunjukkan dan ia mendedahkan pelbagai ciri menarik PS5.

Menu antaramuka PS5 sangat berbeza berbanding menu PlayStation 4 (PS4). Menurut Hideaki Nishino, Naib Presiden Kanan Platform Planning & Management di SIE, rekaan baharu ini memberi fokus utama terhadap pengalaman permainan. Beliau juga menyatakan menu ini memang direka untuk paparan resolusi 4K.

Antara ciri utama menu PS5 ialah Control Center yang boleh diakses secara serta-merta untuk melihat hampir semua perkara penting dalam sistem PS5 tanpa keluar daripada permainan yang sedang dimain.

Dalam Control Center, anda boleh mengakses menu Activities yang membenarkan anda untuk pergi secara terus ke lokasi-lokasi tertentu dalam sebuah permainan. Perkara ini boleh dilakukan kerana adanya SSD yang membenarkan muatan pantas untuk maklumat permainan.

Untuk pelanggan PlayStation Plus, anda juga boleh main permainan sambil menonton video bantuan yang mengajar anda cara-cara untuk menyelesaikan objektif yang sedang dilakukan.

Pengalaman bermain dengan rakan-rakan anda akan menjadi lebih menarik kerana menu PS5 akan membenarkan anda untuk menyertai permainan multi-pemain dengan kawan-kawan serta-merta dan anda juga boleh menonton livestream permainan rakan-rakan secara picture-in-picture semasa bermain.

Satu perubahan yang penulis sangat suka ialah PlayStation Store tidak lagi menjadi aplikasi tersendiri. Ia telah disatukan dengan menu PS5. Ini menjadikan PlayStation Store lebih mudah untuk diakses.

Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh rujuk laman PlayStation Blog.

Apa pendapat anda tentang antaramuka pengguna PS5? Adakah ia satu penambahbaikkan berbanding menu PS4?

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.