Kemaskini Halloween Warzone memperkenalkan Zombie Royale, Leatherface, dan SAW

By Burhanudin Zamri | October 20, 2020

Tinggal lebih kurang 11 hari lagi sehingga bermula sambutan Halloween dan Activision akan memperkenalkan beberapa elemen seram dalam Call of Duty: Warzone termasuk mod baharu Zombie Royale dan dua skin unik daripada francais seram The Texas Chainsaw Massacre dan Saw.

Dari 20 Oktober hingga 3 November ini, para pemain Warzone boleh menikmati beberapa penambahan baharu dalam acara Haunting of Verdansk termasuk mod-mod permainan baharu, skin baharu, dan banyak lagi.

Dalam mod permainan Zombie Royale, pemain yang tewas akan dijadikan zombi. Mereka tidak boleh menggunakan senjata tetapi berlari lebih pantas, lompat dengan lebih tinggi, mempunyai penglihatan terma, dan serangan jarak dekat yang sangat kuat.

Menjadi zombi bukan satu keadaan yang kekal sehingga ke akhir perlawanan. Setiap pemain yang masih hidup akan menjatuhkan picagari apabila dibunuh. Pemain zombi yang berjaya mengumpul dua picagari akan dijadikan manusia biasa semula.

Jika anda seorang peminat siri filem seram dan thriller, anda semestinya mengenali watak Leatherface dari The Texas Chainsaw Massacre dan Billy the Puppet dari Saw. Kedua-duanya akan diperkenalkan sebagai skin untuk Velikan (Leatherface) dan Morte (Billy the Puppet).

Kedua-dua skin tersebut dijual dalam dua bundle berasingan. Membeli salah satu daripada bundle tersebut juga akan memberikan anda pelbagai skin untuk senjata, kenderaan, dan lain-lain.

Untuk maklumat lanjut mengenai acara Haunting of Verdansk, anda boleh rujuk kepada Call of Duty Blog.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.