[Review] Ghostrunner – permainan parkour yang hampir sempurna

By Burhanudin Zamri | October 27, 2020

Kod ulasan disediakan oleh 505 Games. Ulasan dilakukan di PC. Ghostrunner juga dilancarkan untuk PlayStation 4 (PS4) dan Xbox One.

Hampir 12 tahun telah berlalu sejak pelancaran Mirror’s Edge, sebuah permainan yang mengejutkan komuniti permainan video dengan konsep uniknya iaitu permainan parkour atau freerunning dalam perspektif first-person.

Secara asasnya, Ghostrunner boleh digambarkan sebagai Mirror’s Edge digabungkan dengan estetik cyberpunk dan pertarungan pantas ninja atau samurai. Penghuraian sebegini pun sudah mencukupi untuk menarik minat ramai pemain termasuk penulis sendiri.

Walaubagaimanapun, penulis memahami bahawa ramai orang semestinya terasa gementar untuk mencuba permainan sebegini kerana jarang sekali permainan first-person parkour dilancarkan. Antara permainan terakhir yang menonjolkan gaya permainan ini ialah Dying Light yang dilancarkan pada tahun 2015.

Anda tidak perlu risau tentang perkara ini kerana Ghostrunner sebenarnya agak mudah untuk dipelajari dan boleh dinikmati oleh sesiapa sahaja yang biasa bermain first-person shooter seperti CS:GO, Apex Legends, dan Titanfall 2.

 

Jalan cerita bukan fokus utama

Sama seperti kritikan yang diterima oleh Mirror’s Edge dan Mirror’s Edge Catalyst, jalan cerita yang ditonjolkan dalam Ghostrunner tidak begitu menarik.

Pemain bermain sebagai seorang ninja cyborg yang hilang ingatan. Kita dibangunkan oleh seorang watak yang bernama The Architect dan perlu mengikut arahan beliau untuk menyelamatkan penduduk Dharma Tower daripada pemimpin kejamnya Keymaster.

Pada pendapat penulis, jalan cerita yang bermula dengan watak utama yang hilang ingatan ialah sebuah teknik penulisan yang tidak kreatif. Malangnya, aspek ini menjadi lebih mengecewakan kerana plot twist pada pengakhiran jalan cerita tidak mengejutkan mahupun menarik.

Watak-watak lain yang ditemui dalam cerita ini kebanyakannya hanya muncul sebagai suara yang berkomunikasi secara terus dengan watak utama. Perkara ini tidak menjadi masalah kerana ia memastikan permainan tidak dihentikan untuk babak-babak dialog yang membosankan.

Masalahnya ialah semua watak-watak mempunyai personaliti dan skrip yang sangat klise. Penulis tidak mahu spoil apa-apa tetapi pendek kata, penulis mencadangkan anda tidak meletakkan harapan yang tinggi dalam jalan cerita Ghostrunner.

Ia sekadar wujud untuk memberikan konteks kepada permainan dan sejujurnya, ini bukan satu masalah besar kerana permainannya sangat bagus.

 

Pantas, mencabar, dan memuaskan

Penulis sendiri tidak pernah bermain permainan-permainan lain yang menonjolkan first-person parkour seperti Mirror’s Edge, Dying Light, dan Titanfall 2 tetapi tetap dapat memahami dan menikmati permainan Ghostrunner.

Pergerakan dalam permainan ini menggunakan empat kawalan asas: satu butang untuk melompat, lompat ke arah dinding untuk berlari di atas dinding, satu butang untuk tunduk & meluncur, dan satu butang untuk dash. Ketiga-tiga kawalan ini diajar dengan baik di peta pertama dan menyesuaikan pemain dengan irama permainan.

Ghostrunner ialah sebuah permainan yang menggunakan fahaman “risiko tinggi, ganjaran tinggi”. Setiap musuh boleh membunuh pemain dengan hanya satu tembakan atua pukulan tetapi pemain juga menewaskan musuh dengan hanya satu pukulan.

Anda tidak perlu risau tentang skrin muatan selepas dibunuh kerana anda hanya perlu tekan satu butang untuk menghidupkan semula diri anda secara serta-merta. Penulis berpendapat ini ialah kekuatan utama Ghostrunner. Ia memberikan peluang kepada pemain untuk mencuba sekali lagi tanpa perlu menunggu walaupun sesaat.

Senjata utama pemain ialah sebuah katana yang sangat pantas dan memuaskan apabila digunakan. Selain daripada membunuh musuh, ia juga boleh digunakan untuk menepis serangan dan memantulkan tembakan kembali ke musuh. Ini memberikan pemain lebih banyak cara untuk menewaskan musuh-musuh secara kreatif.

Rekaan persekitaran setiap pertemuan dengan kumpulan musuh juga memberikan kebebasan kepada pemain untuk memilih cara menyelesaikan misi. Terdapat banyak dinding dan platform yang boleh digunakan untuk bergerak ke arah musuh dan lari daripada musuh.

Setiap pertemuan sebenarnya disusun dalam cara yang sangat cerdik agar memberikan kebolehan kepada pemain untuk sentiasa bergerak dan menewaskan musuh tanpa membazir walaupun sesaat. Cabarannya ialah untuk mencari cara paling berkesan untuk membunuh semua musuh.

Ini merupakan resipi kejayaan permainan ini. Pemain sentiasa diberi motivasi untuk menyelesaikan misi dengan lebih pantas dan kemas. Perkara ini diperkukuhkan lagi dengan kewujudan sebuah leaderboard masa yang dipaparkan di pengakhiran sebuah peta.

Satu lagi kekuatan Ghostrunner ialah ia sentiasa memperkenalkan cabaran baharu kepada pemain. Apabila anda sudah biasa dengan berlari di atas dinding, ia memperkenalkan dinding yang bergerak. Sudah mahir meluncur? Selepas ini anda perlu elak halangan merbahaya ketika meluncur.

Falsafah ini juga digunakan dalam kepelbagaian musuh. Musuh pertama yang ditemui hanya menembak satu peluru lalu mengambil beberapa saat untuk reload. Pada peta-peta yang akan datang, anda akan bersemuka dengan musuh yang menggunakan mesingan dan ada juga musuh yang menggunakan katana seperti anda.

Ciri ini membuatkan Ghostrunner sebuah permainan yang sentiasa rasa segar kerana pemain rasa teruja untuk melihat cabaran-cabaran yang akan muncul. Ia juga memastikan permainan tidak menjadi terlalu mudah dan membosankan.

Pada pendapat penulis, hanya ada satu kelemahan besar dalam susunan permainan Ghostrunner. Terdapat beberapa peta yang berlangsung dalam dunia siber. Untuk menghabiskan peta-peta dunia siber, anda perlu menyelesaikan pelbagai jenis tekaria. Ada beberapa yang menarik tetapi kebanyakannya agak membosankan.

Satu lagi isu permainan dalam dunia siber ialah banyak cara pergerakan tidak boleh digunakan. Anda tidak boleh berlari di atas dinding dan tidak boleh dash. Ini membuatkan pergerakan terasa sangat lembap.

Mengikut fahaman penulis, peta-peta dunia siber diwujudkan untuk menerangkan beberapa butiran jalan cerita dan memperkenalkan kemahiran-kemahiran istimewa seperti pancaran katana (bayangkan Getsuga Tensho dari Bleach) dan mengeluarkan gelombang yang boleh memantulkan peluru.

Walaubagaimanapun, lebih elok kedua-dua perkara tersebut dilakukan dalam peta-peta dunia nyata.

 

Sesuai untuk menguji kad grafik RTX

Satu perkara yang tidak dapat dinafikan tentang Ghostrunner ialah ia adalah sebuah permainan yang sangat cantik. Tekstur di katana watak utama sentiasa kelihatan canggih dan jelas. Setiap kesan khas seperti letupan dan percikan darah nampak realistik.

Jika anda bermain di PC dan menggunakan kad grafik siri Nvidia GeForce RTX, anda boleh menguji keupayaan ray-tracing komputer anda kerana Ghostrunner mempunyai tetapan “RTX On”.

Apabila tetapan ray-tracing dihidupkan, pantulan cahaya untuk perkara-perkara seperti permukaan air dan bayang-bayang akan nampak jauh lebih realistik.

Untuk anda yang bermain di PC tanpa kad grafik RTX atau konsol, jangan risau. Ghostrunner tetap nampak realistik dan cantik.

Dari segi audio pula, penulis sangat menyukai lagu-lagu latar yang memang berjaya membawakan tema cyberpunk. Setiap babak-babak permainan terasa lebih menyeronokkan dengan adanya lagu latar yang berirama pantas.

Walaupun skrip permainan ini tidak begitu menarik, lakonan suara dilakukan dengan baik. Ayat-ayat yang disebut oleh musuh pula juga tidak begitu kreatif tetapi mencukupi untuk mewujudkan pengalaman yang memuaskan.

Satu masalah teknikal yang muncul beberapa kali ketika penulis melakukan ulasan ialah permainan ini crash beberapa kali. Penulis berharap isu ini akan diperbaiki selepas pelancaran.

 

Peminat permainan pantas harus cuba!

Secara ringkasnya, Ghostrunner ialah sebuah permainan yang mempunyai beberapa kelemahan kecil tetapi ia fokus utama iaitu permainannya dilaksanakan dengan sangat baik.

Penulis sendiri bukan seorang yang biasa dengan permainan first-person yang pantas. Walaubagaimanapun, permainan ini berjaya menjadikan penulis seorang peminat baharu kerana ia menonjolkan aspek-aspek terbaik dalam genre ini.

Bagi anda yang sudah lama mencair permainan sebegini, penulis mengesyorkan anda untuk mencuba Ghostrunner!

Ghostrunner akan dilancarkan pada 28 Oktober ini untuk PC (Steam), PlayStation 4 (PS4), dan Xbox One.

 

Kekuatan:

  • Permainan yang sangat menyeronokkan.
  • Sentiasa memperkenalkan cabaran baharu.
  • Kualiti grafik dan audio yang tinggi.

Kelemahan:

  • Jalan cerita yang klise.
  • Beberapa peta yang membosankan.
  • Crash beberapa kali.

SKOR AKHIR: 80/100