Cyberpunk 2077 ditangguh sekali lagi, dijadualkan tiba pada Disember

By Burhanudin Zamri | October 28, 2020

CD Projekt Red (CDPR) mengecewakan ramai pemain di luar sana sekali lagi apabila mereka mengumumkan penangguhan ketiga pelancaran Cyberpunk 2077. Tarikh pelancaran permainan tersebut telah dipindahkan ke 10 Disember tahun ini. Tarikh pelancaran yang ditetapkan sebelum ini ialah 19 November.

Berita ini sememangnya tidak mengejutkan penulis kerana seperti yang diterangkan dalam kenyataan daripada studio tersebut, terdapat beberapa cabaran besar dalam menyiapkan Cyberpunk 2077.

Antara cabaran utama ialah memastikan versi akhir di setiap konsol dan platform mencapai tahap kualiti yang memuaskan. Untuk pengetahuan anda, Cyberpunk 2077 merupakan salah satu permainan yang akan dilancarkan di sembilan platform berbeza termasuk PC, PlayStation 4 (PS4), PlayStation 5 (PS5), Xbox One, Xbox Series, dan Google Stadia.

Kita juga harus ingat bahawa pandemik COVID-19 memaksa banyak tempat kerja ditutup dan para pekerja perlu bekerja dari rumah. Masalah yang sama dihadapi oleh CDPR dan ini sememangnya menjadi faktor penting dalam keputusan penangguhan ini.

Ramai peminat Cyberpunk 2077 yang telah pra-tempah permainan tersebut terkejut dengan berita ini kerana CDPR sendiri telah menyatakan bahawa proses pembangunan telah siap. Nampaknya, ini tidak bermakna permainan tersebut sedia untuk dilancarkan.

Ini bermaksud mereka yang membeli Cyberpunk 2077 akan menerima sebuah patch hari pelancaran yang akan memperkenalkan segala pembetulan yang sedang diusahakan pada waktu ini.

Perkara sebegini memang biasa dalam industri pembangunan permainan video. Penulis cuma berharap para pekerja di CDPR dapat menjaga keseimbangan kehidupan dan kerja pada waktu yang mencabar ini.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.