Riot Games umumkan Ruined King: A League of Legends Story

By Burhanudin Zamri | November 2, 2020

Para peminat League of Legends dan Legends of Runeterra sudah lama menunggu ketibaan sebuah permainan single player dan Riot Games kini menjawab permintaan tersebut dengan Ruined King: A League of Legends Story.

Permainan tersebut merupakan permainan single player pertama yang menggunakan dunia League of Legends sebagai latar belakang. Ia sedang dibangunkan oleh Airship Syndicate, studio sama yang menghasilkan Darksiders Genesis.

Ruined King: A League of Legends Story merupakan sebuah permainan turn-based role-playing game (RPG). Selain daripada PC, ia juga akan dilancarkan untuk PlayStation 4 (PS4), PlayStation 5 (PS5), Xbox One, Xbox Series, dan Nintendo Switch.

Seperti yang ditunjukkan dalam trailer di atas, pemain akan mengawal sebuah kumpulan wira-wira League of Legends iaitu Miss Fortune, Illaoi, Braum, Ahri, Yasuo, dan Pyke. Jalan cerita permainan ini akan membawa pemain ke dua lokasi iaitu Bilgewater dan Shadow Isles.

Pada waktu ini, tiada tarikh tepat diberikan tetapi ia dirancang untuk dilancarkan pada awal tahun 2021. Seperti kebanyakan permainan yang dilancarkan pada tarikh berdekatan dengan pelancaran konsol generasi baharu, pemilik versi konsol generasi kini akan menerima naik taraf percuma ke versi PS5 dan Xbox Series.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh merujuk laman Steam atau Epic Game Store permainan ini.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.