Maharaja Soloz hidang nasi lemak dalam video baru Wild Rift – #Pentaboom

By Hazril Md Nor | November 3, 2020

Dalam satu video terbaru promosi Pentaboom oleh League of Legends: Wild Rift hari ini, penghibur penstriman langsung nombor satu Malaysia di Facebook Gaming, Mohd Faris Zakaria atau Soloz kelihatan memegang watak sebagai penjual nasi lemak.

Difahamkan filem pendek itu adalah sempena sambutan beta terbuka Wild Rift dan membintangi pempengaruh lain dari serata Asia Tenggara seperti Jess No Limit, ZBingZ, Do Mixi, Alodia Gosiengfiao, BeBe, JianHao Tan, Danial Ron dan Sylvia Chan.

Ia mengambil inspirasi daripada Pentakill, satu perkataan ‘keramat’ yang ikonik, tercapai apabila pemain berjaya mengalahkan kelima-lima musuh pihak lawan dalam masa pendek.

Lokasi bagi video tersebut diambil di serata tempat di Asia Tenggara dan ada juga Easter Egg boleh dicari. Juga terdapat cosplayer Ezreal dan Garen bertarung di Marina Bay. Budaya negara lain seperti Boba, Banh Mi, Nasi Lemak, Batik dan lain-lain juga turut dipertunjukkan.

“Asia Tenggara merupakan rantau pertama di dunia untuk bermain Wild Rift dan kami mahu menyambutnya. Kami teruja kerana dapat mengeluarkan filem pendek ini bersama beberapa pempengaruh gaming yang hebat di lokasi yang ramai akan kenal.

“Kami berharap dengan filem ini dan Wild Rift akan merapatkan komuniti Asia Tenggara kami,” kata Justin Hulog, Pengurus Besar bagi Asia Tenggara, Hong Kong, Taiwan dan Macau, Riot Games.

Filem ini diarahkan oleh Roslee Yusof dan dikeluarkan bersama BBH Singapura rakan agensi Riot Asia Tenggara.

Beta Terbuka Serantau League of Legends: Wild Rift dilancarkan sepanjang Asia Tenggara pada 28 Oktober.

Acara K/DA League of Legends: Wild Rift juga sedang berlangsung dan pemain boleh log masuk untuk mendapat ganjaran eksklusif.

Untuk maklumat lebih lanjut, layari wildrift.leagueoflegends.com dan Facebook.