Program e-sukan PUBG Mobile 2021 menawarkan hadiah terkumpul keseluruhan berjumlah RM57 juta

By Burhanudin Zamri | November 25, 2020

Kejohanan PUBG Mobile Global Championship 2020 (PMGC) telah bermula semalam. Pada hari yang sama, PUBG Corporation juga mengumumkan perancangan mereka untuk terus memperkembangkan arena e-sukan PUBG Mobile untuk tahun 2021.

Antara maklumat menarik yang dikongsikan ialah syarikat tersebut akan menaikkan jumlah hadiah terkumpul keseluruhan ke AS$14 juta (RM57 juta), hampir tiga kali ganda jumlah yang ditawarkan tahun ini (AS$5 juta). Ia akan dipecahkan ke kejohanan-kejohanan seperti PUBG Mobile Club Open (PMCO), PUBG Mobile Professional League (PMPL), Invitationals, dan PMGC.

Para peminat PUBG Mobile di Malaysia sudah mengetahui bahawa PMPL setakat ini hanya diadakan di Asia Tenggara dan Asia Selatan. Bermula pada tahun depan, tujuh wilayah PMPL baharu akan diadakan untuk wilayah:

  • Negara-Negara Bebas Komanwel (CIS)
  • Turki
  • Eropah Barat
  • Arabia
  • Amerika Utara
  • Amerika Latin
  • Brazil

Sepanjang tahun 2021, dua musim PMCO dan PMPL akan diadakan. Satu perbezaan besar dalam jadual e-sukan PUBG Mobile tahun depan ialah Invitationals yang akan dianjurkan oleh pasukan-pasukan professional pada musim panas tahun depan. Seperti biasa, kemuncak arena e-sukan PUBG Mobile ialah PMGC yang akan diadakan pada penghujung tahun.

Nampaknya tahun 2021 bakal menjadi tahun yang sangat menyeronokkan untuk para pemain dan peminat PUBG Mobile. Untuk anda yang berminat untuk menyertai PMCO 2021 Spring Split, anda boleh mula mendaftarkan diri pada 1 Januari 2021. Pendaftaran akan ditutup pada 24 Januari 2021.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.