3 pertimbangan penting sebelum membeli atau membina PC gaming anda

By Burhanudin Zamri | November 30, 2020

PlayStation 4 (PS4) dan Xbox One sudah tidak boleh dianggap sebagai konsol generasi kini kerana PlayStation 5 (PS5) dan Xbox Series X telah tiba di pasaran Malaysia. Malangnya, ramai pemain di Malaysia tidak berpeluang menjadi pemilik konsol-konsol baharu tersebut akibat stok yang sangat terhad.

Ini tidak bermakna anda telah kehilangan peluang untuk menikmati permainan-permainan generasi baharu yang bakal dilancarkan seperti Cyberpunk 2077 dan Far Cry 6. Masih terdapat satu lagi pilihan: membeli atau membina PC gaming anda sendiri.

Penulis sedar bahawa faktor utama yang membuatkan ramai orang tidak yakin untuk membeli atau membina PC gaming sendiri ialah kos yang tinggi. Anda sebenarnya boleh mendapatkan komputer yang bagus pada harga yang berpatutan jika anda melakukan penyelidikan sebelum membuat apa-apa keputusan.

Perkara pertama yang patut dipertimbangkan sebelum membeli komponen-komponen PC ialah…

 

Resolusi paparan skrin monitor

Aspek utama yang menentutkan kelancaran permainan PC ialah resolusi paparan. Untuk bermain pada paparan 4K, anda akan memerlukan kad grafik yang sangat berkuasa. Sebaliknya, permainan lancar pada paparan 1080p boleh dicapai dengan kad grafik yang jauh lebih murah tetapi tetap berkuasa.

Prinsip yang dipakai dalam hal ini ialah “tidak lebih, tidak kurang”. Jika anda hanya ingin bermain pada resolusi 1080p, anda tidak perlu membeli kad grafik berkuasa tinggi seperti Nvidia GeForce RTX 2080 atau AMD Radeon RX 5700 XT. Anda boleh menjimatkan ribuan ringgit dengan memilih kad yang lebih sesuai seperti Nvidia GeForce GTX 1660 atau AMD Radeon RX580.

Kedua-dua kad yang lebih murah itu akan membenarkan anda untuk main pada tetapan kualiti grafik yang tinggi sambil mengekalkan kadar bingkai sekitar 60FPS.

 

Keperluan tenaga

Komponen yang mengalirkan tenaga ke semua komponen PC ialah power supply unit (PSU). Apabila memilih PSU, anda digalakkan untuk memilih PSU yang mempunyai penarafan kuasa lebih tinggi sedikit berbanding jumlah tenaga yang diperlukan untuk PC anda.

Ini memberikan anda sedikit ruang untuk melakukan overclocking jika anda mahu melakukannya dan ia juga memastikan PC anda tidak akan dimatikan secara tiba-tiba apabila ada lonjakan kuasa (power spike).

Untuk mengetahui penarafan kuasa yang diperlukan untuk PC anda, anda boleh menggunakan PSU Calculator yang disediakan oleh syarikat-syarikat seperti Cooler Master dan Be Quiet.

 

Kegunaan lain selain gaming

Jika anda mahu menggunakan PC anda hanya untuk bermain permainan video dan perkara-perkara asas lain seperti melayari internet, menonton kandungan video, dan kerja-kerja penulisan, anda boleh menjimatkan banyak wang dalam pemilihan RAM dan CPU.

PC sebegitu hanya memerlukan CPU tahap entry seperti AMD Ryzen 5 1600 dan RAM sebanyak 8GB.

Jika anda merancang untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang lebih berat seperti streaming dan melakukan kerja-kerja kreatif seperti suntingan video, PC anda patut mempunyai sekurang-kurangnya 16GB RAM dan CPU tahap pertengahan atau lebih tinggi seperti AMD Ryzen 5 3600 atau AMD Ryzen 9 5900X.

Gambar: Cooler Master

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.