Masa depan PS5 dalam e-sukan

By Burhanudin Zamri | December 5, 2020

Pelancaran konsol-konsol generasi baharu hanya tinggal lebih kurang seminggu sahaja lagi. Para peminat permainan video di Malaysia semestinya tidak sabar untuk menjadi pemilik PlayStation 5 (PS5). Konsol baharu ini mempunyai beberapa penambahbaikkan besar berbanding PlayStation 4 (PS4). Persoalannya, adakah ia akan menjadi platform e-sukan yang lebih hebat?

Tidak dapat dinafikan bahawa PC dan peranti mudah alih telah menjadi dua platform paling popular dalam e-sukan. Hal ini demikian kerana permainan-permainan seperti Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), PUBG Mobile, DOTA 2, dan Rainbow Six Siege mendapat sambutan meriah di seluruh dunia dan juga di Malaysia.

 

Call of Duty League

Sebelum ini, PS4 menjadi tapak kejohanan Call of Duty League tetapi baru-baru ini kejohanan tersebut telah kembali ke PC. Walaubagaimanapun, para pemain diarahkan untuk kekal menggunakan alat kawalan dan tidak dibenarkan menggunakan papan kekunci dan tetikus.

Keputusan ini kemungkinan besar dibuat untuk memastikan para pemain diberi masa untuk menyesuaikan diri dengan platform baharu.

Sony Interactive Entertainment tetap mempunyai persetujuan dengan Activision untuk memastikan PlayStaton menjadi platform pilihan Call of Duty. Antara kandungan eksklusif untuk PlayStation dalam permainan Call of Duty: Black Ops Cold War ialah mod Zombie Onslaught. Mod tersebut hanya terdapat di PS4 dan PS5 sehingga 1 November 2021.

Pada waktu ini, Activision masih kekal dengan keputusan untuk memindahkan Call of Duty League ke PC. Oleh itu, peluang untuk PS5 dijadikan platform pilihan kejohanan tersebut sangat rendah.

 

FIFA & eFootball PES

Apabila bercakap tentang arena e-sukan permainan bola sepak, PlayStation memang menjadi platform kegemaran komuniti tersebut. Sejak pelancaran PS4, kebanyakan kejohanan antarabangsa dan kebangsaan FIFA dan eFootball PES diadakan menggunakan konsol tersebut.

FIFA 21 kini sudah dilancarkan di PS4 dan pemilik versi tersebut akan terima naik taraf percuma ke versi PS5. eFootball PES 2021 pula telah dilancarkan sebagai sebuah kemas kini untuk eFootball PES 2020 konsol generasi kini. Versi PS5 eFootball PES 2021 dirancang untuk dilancarkan pada penghujung tahun depan.

Para penganjur kejohanan e-sukan bola sepak sememangnya akan memilih PS5 untuk kejohanan-kejohanan akan datang. Waktu muatan pantas yang dibolehkan oleh SSD dan kawalan DualSense yang lebih tepat akan menjadikan semua kejohanan lebih menarik. Kualiti grafik yang lebih realistik juga akan menarik minat lebih ramai penonton.

 

Permainan pertarungan atau fighting games

Evolution Championship Series ataupun EVO merupakan kejohanan tahunan permainan pertarungan paling terkenal di dunia. Antara permainan-permainan pertarungan yang sering dipertandingkan dalam kejohanan tersebut adalah Street Fighter, Tekken, dan Soul Calibur.

FGC di Malaysia agak aktif dan beberapa pemain hebat seperti Suk Sian “KOFMaster” Ng dan Abdul “Fate” Rahim kini menyertai pasukan Yoodo Flash Vision yang bertanding dalam kategori Tekken dan Street Fghter.

Logistik kejohanan pertarungan menjadi lebih rumit jika menggunakan PC. Oleh itu, konsol sering dijadikan pilihan dan konsol yang paling popular pada beberapa tahun yang lepas untuk tiga permainan yang disenaraikan di atas serta beberapa permainan lain ialah PS4. Ia lebih mudah dipasang dan lebih ringan untuk dipindah ke pelbagai tempat untuk kategori-kategori kejohanan berbeza.

Salah satu kejohanan yang mengesahkan PS4 sebagai platform rasmi ialah Mortal Kombat 11 Pro Kompetition yang akan bermula 12 Disember 2020.

Satu lagi aspek penting yang menyokong penggunaan PS4 ialah hampir semua pemain dalam FGC menggunakan alat kawalan pihak ketiga seperti kayu arked. Produk-produk ini boleh disambung dengan mudah ke PS4.

Apabila EVO kembali pada tahun depan, penganjurnya semestinya akan memilih PS5 untuk kategori-kategori Street Fighter, Tekken, dan pelbagai permainan lain.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.