Review: Ni No Kuni II – Ikuti Kembara Evan Menakluk Kembali Takhta Ding Dong Dell!

By Hazril Md Nor | March 26, 2018

Pertama kali mencuba Ni No Kuni II, penulis sendiri kagum dengan usaha Bandai Namco yang cuba meletakkan pemain dalam dunia fantasi dan menyuntik sikit elemen time-travel di dalamnya. 

Kenapa time-travel? Secara ringkasnya Ni No Kuni II berkisarkan kisah seorang putera raja kucing iaitu Evan Pettiwhisker Tildrum yang baru saja kematian bapanya. Evan sepatutnya naik takhta menggantikan ayahandanya tapi usaha itu dipatahkan oleh kemelut yang melanda kerajaan kucing dinamakan Ding Dong Dell. 

Ia bergantung kepada Evan dan bantuan Roland, seorang presiden dari dunia nyata yang tiba-tiba teleport ke Ding Dong Dell sebelum musnahnya bandar akibat letupan. Sepanjang pengembaraan, mereka bertemu Tani, anak perempuan bos kepada air pirates. 

Nampak macam straightforward kan? Hah tunggu dulu, kita akan tiba di the best part! Jom baca lebih lanjut!

KEMBARA YANG MENCABAR

Intronya sangat straightforward. Selepas Roland tiba di Ding Dong Dell, dia terpaksa terlibat untuk selesaikan kemelut melanda kerajaan kucing itu. Pengembaraan Roland dan Evan seronok diikuti kerana di sini kita boleh nampak Roland adalah brother figure kepada Evan yang kehilangan seorang ayah. Banyak dialog yang membantu pemain menyelami keakraban mereka berdua di mana Roland kerap kali menasihati Evan untuk teruskan hidup dan mencapai impian membina sebuah kerajaan sendiri walaupun kematian orang tersayang.

Di beberapa scene yang getir, Evan walau macam mana pun kelihatan matang kerana tekadnya untuk mempertahankan diri dari musuh. Roland pula dilihat tenang handle situasi berbahaya kerana keberaniannya. Setiap karakter ditampilkan dalam Ni No Kuni II mempunyai personaliti mereka sendiri dan ia membuatkan korang rasa terpanggil untuk meneroka kembara mereka.

Dari satu sudut, terdapat beberapa scene yang bagi penulis mungkin tak sampai emosinya kerana dilakukan secara tiba-tiba. Ini kerana penulis rasa karakter itu mempunyai potential untuk jadi karakter penting tapi terpaksa dilenyapkan dalam permainan untuk beri ruang kepada karakter utama beraksi. Ya lah, dah nama pun pengembaraan Roland dan Evan.

GAMEPLAY YANG MENARIK

Itu dari segi chemistry antara karakter. Bagi gameplay pula, ia tak mengecewakan dan membuat korang lupa sebentar elemen kebudak-budakan yang ditambah. Ini kerana perlawanannya sangat demanding, membuat korang ketagih untuk berlawan lebih kerap. Sistem perlawanan lebih terbuka dan memberi kebebasan kepada pemain untuk melakukan kombo dan bergerak bebas dalam medan pertarungan antara rencah utama yang buat game ni diminati. Sebagai JRPG moden, Ni No Kuni II ternyata bijak membuatkan korang seakan berada dalam perlawanan itu. 

Sesi perlawanannya mudah difahami. Korang bergerak dalam dunia terbuka (open world) untuk mencari Naga yang bertanggungjawab menjalankan ritual dan mengiktiraf Evan sebagai raja Ding Dong Dell. Dari sudut peta yang besar, karakter korang bertukar menjadi seakan Chibi dan mana-mana pertembungan dengan raksasa akan memaksa korang berperang. Paling kelakar, raksasa boleh jadi agro dan akan kejar korang sampai dapat.

Seperti JRPG lain, korang bebas berlawan tapi boleh menukar karakter dengan sesuka hati (Yes!!) Kiranya, tak ada lah halangan untuk main satu karakter je. Sebagai Roland, protagonis ini lebih berani dan menggunakan pedang sebagai senjata utama. Selain melakukan tetakan berulang kali, Roland juga boleh gunakan spell (sebenarnya semua karakter mempunyai spell masing-masing). Bagi Evan pula, dia lebih sesuai dengan serangan jarak jauh kerana dilengkapi tongkat sakti (wand) untuk serangan pelbagai elemen.

Setiap tetakan terasa real kerana ia bergantung kepada jenis senjata korang ke atas musuh dengan elemen berlainan. Tak semua senjata lut pada musuh jadi korang perlu perhatikan jenis elemen dan kelemahan mereka. Korang jugak akan rasa lebih bangga kalau dapat kalahkan raksasa 10 atau 20 level lebih tinggi. Terdapat juga meter Zing yang perlu dipenuhkan untuk bagi senjata itu lebih efektif pada musuh.

Kalau korang dah biasa dengan Ni No Kuni I, mesti terasa lain kerana boleh bergerak bebas. Sama seperti Final Fantasy XV juga. Untuk menyemarakkan lagi pertempuran, sistem kombat Ni No Kuni II membolehkan korang holdkan kuasa sehingga tiga kali sebelum lepaskan. Setiap caj ini memang berkuasa untuk tumpaskan musuh tapi juga menggunakan Mana. Ingat, karakter korang mempunyai beberapa caj untuk kuasa sebelum kehabisan mana. Lebih realistik, mana-mana karakter boleh elak serangan dengan roll ketepi ataupun menahan serangan. 

Pun macamtu, setiap perlawanan terasa selamat dan tak susah nak kalah sebab A.I menunjukkan mereka bijak berdepan musuh dan pertahankan diri. Tanpa perlu banyak bantuan, mereka tahu apa nak dibuat. Jadi pada setiap masa korang boleh expect karakter lain akan gunakan best attack untuk jatuhkan musuh.

HIGGLEDIES – TEMAN RAPAT KORANG

Jarang bagi penulis nampak sistem pertarungan yang ada bantuan dari karakter sampingan. Higgledies, namanya mungkin susah nak sebut tapi karakter-karakter comel ini sangat berguna dalam perlawanan. Sebagai makhluk sakti yang mencirikan elemen alam seperti matahari, angin dan sebagainya, mereka membawakan experience terbaru dalam battlefield.

Higgledies pertama yang ditemui selepas menyelamatkan seorang makcik tua boleh bertukar kepada meriam untuk letupkan area kecil. Di sini korang boleh aktifkan mereka dengan menekan butang X apabila mereka berkumpul. Banyak lagi Higgledies korang boleh jumpa dan setiap satu mempunyai ability berlainan. Selain boleh memberi buff dan sebagainya, mereka ada kuasa istimewa yang sesuai dengan elemen.

Dalam kebanyakan pertempuran awal, penulis sendiri jarang membuatkan Higgledies bertukar. Tapi apabila berdepan bos, di sini Higgledies sangat function sebagai penambah serangan. Sementara korang lari untuk mendapatkan tetakan tepat, Higgledies akan deal damage tanpa dikacau.

BINA EMPAYAR KORANG SENDIRI

Mungkin ada yang anggap setakat itu je gameplay yang ditawarkan. Korang silap! Evan bukan saja mempunyai impian untuk membina sebuah empayar tapi juga menyatukan kerajaan lain. Dari kerajaan kecil, korang akan perhatikan empayar itu berkembang dengan adanya bangunan dan fasiliti baru. Akan ada smiths yang mencipta senjata dan armor, petani yang mengutip hasil ternakan dan membina institusi untuk menjadi pemerintah adil dan pahlawan lebih handal.

Macam mana nak kukuhkan empayar korang? Senang saja, lakukan tugasan sampingan (sidequests). Kebanyakannya meletakkan anda dalam tugasan membunuh beberapa bilangan raksasa ataupun lain-lain. Ini adalah senario biasa dalam RPG. Walaupun ia sikit mengecewakan, Ni No Kuni II menekankan aspek dialog bagi setiap NPC ke tahap lebih baik. Setiap kali korang berinteraksi, NPC ini mempunyai gaya percakapan tersendiri dan loghat yang wajar dipuji kerana bukan dibuat-buat.

Dan dah tentunya setiap karakter yang korang jumpa, hanyalah watak sampingan yang kadang-kadang tak relate dengan perkembangan plot yang sangat laju. Kerana terlalu laju pergerakan plot, korang mungkin akan keliru kenapa dia menyertai team korang dalam masa singkat. Macam penulis mention tadi, semuanya bersifat straightforward!

KESIMPULAN

Ni No Kuni II adalah game yang membuatkan korang ada banyak masa untuk spend kerana banyak aktiviti boleh dilakukan selain menyelamatkan Ding Dong Dell. Sistem perlawanannya addictive dan banyak momen kejutan yang membuatkan korang tersenyum bila teringat. Ia satu game yang sempurna kalau korang sukakan grind dan sistem perlawanan bebas. Tak ada masalah kalau korang belum cuba game pertama kerana yang ini pastinya menjadi pilihan korang. Syabas Bandai Namco dan Level-5!

Korang boleh dapatkan Ni No Kuni II sekarang di PlayStation Store dengan harga bermula RM239 dan di pengedar rasmi PlayStation.