5 permainan hebat yang akan tiba pada tahun 2021

By Burhanudin Zamri | December 12, 2020

Kita kini menghampiri pengakhiran tahun 2020, sebuah tahun yang penuh dengan kesedihan dan tragedi. Walaubagaimanapun, berita tentang penghasilan vaksin COVID-19 memberikan harapan kepada umat manusia dari seluruh pelosok dunia.

Untuk komuniti peminat permainan video, 2021 juga merupakan tahun yang optimistik kerana konsol generasi baharu iaitu PlayStation 5 (PS5) dan Xbox Series X telah tiba dan kita bakal main permainan generasi baharu dengan kualiti grafik yang lebih cantik dan dunia yang lebih luas.

Terdapat banyak permainan yang dinanti-nantikan. Dalam artikel ini, penulis akan berkongsi dengan anda tentang lima permainan video hebat yang akan dilancarkan pada tahun depan.

 

God of War: Ragnarok

Siri permainan God of War diberi nafas baharu pada tahun 2018 dengan pelancaran God of War, judul terbaru dalam siri tersebut yang dilancarkan secara eksklusif untuk PlayStation 4 (PS4). Ia menyambung jalan cerita Kratos yang kini mempunyai seorang anak lelaki bernama Atreus dan mereka menetap di dunia mitologi Norse.

Sekuel untuk permainan tersebut telah disahkan dan pada waktu ini ia diberi nama God of War: Ragnarok. Kemungkinan besar ia akan menyambung perjalanan Kratos dan Atreus di mana mereka akan menemui dewa-dewa dari mitologi Norse seperti Thor, Odin, dan ramai lagi.

Penulis yakin permainan ini akan dilancarkan secara eksklusif di PS5 kerana siri God of War sememangnya siri permainan yang diterbitkan oleh Sony Interactive Entertainment.

 

Far Cry 6 

Apabila bercakap tentang permainan dunia terbuka, sukar untuk mengelak daripada menyebut tajuk permainan-permainan terbitan Ubisoft. Antaranya ialah siri Far Cry yang menggabungkan aksi first-person shooter (FPS) dan kebebasan dunia terbuka.

Judul terbaru dalam siri ini iaitu Far Cry 6 akan menggunakan formula yang sama. Walaubagaimanapun, terdapat satu kemunculan pelakon yang sangat menarik, lagi-lagi untuk anda yang minat siri televisyen Breaking Bad.

Giancarlo Esposito, pelakon watak Gustavo Fring dalam Breaking Bad, akan muncul sebagai antagonis permainan ini iaitu Antón Castillo atau “El Presidente”.

Far Cry 6 akan dilancarkan di PC, PS5, PS4, Xbox Series, Xbox One, Google Stadia, dan Amazon Luna.

 

Resident Evil Village

Resident Evil Village merupakan judul utama ke-8 dalam siri Resident Evil. Para pemain akan kembali bermain sebagai Ethan Winters, watak utama Resident Evil 7. Chris Redfield, watak veteran siri Resident Evil, juga akan kembali.

Seperti yang dinyatakan dalam tajuk permainan ini, watak-watak utama akan pergi ke sebuah kawasan perkampungan yang penuh dengan misteri. Terdapat makhluk-makhluk seram yang (bernampilan seperti) werewolf dan pontianak.

Sama seperti Resident Evil 7, Resident Evil Village akan menggunakan perspektif first-person.

Resident Evil Village akan dilancarkan di PC, PS5, dan Xbox Series.

 

Hogwarts Legacy

Sudah lama para peminat Harry Potter tidak menerima permainan Harry Potter yang memuaskan. Ketandusan ini akan berakhir pada tahun depan apabila Hogwarts Legacy dilancarkan.

Hogwarts Legacy boleh dikatakan sebagai permainan Harry Potter yang mempunyai skala terbesar dalam sejarah permainan Harry Potter. Ia merupakan sebuah permainan dunia terbuka di mana pemain akan mencipta dan bermain sebagai seorang pelajar di Hogwarts.

Jika anda gemar berfantasi tentang menjadi seorang ahli sihir berkuasa yang mampu mengubah dunia, inilah permainan untuk anda.

Hogwarts Legacy akan dilancarkan di PC, PS5, PS4, Xbox Series, dan Xbox One.

 

Cyberpunk 2077 (PS5 dan Xbox Series)

Cyberpunk 2077 memang akan dilancarkan pada 10 Disember tahun ini. Walaubagaimanapun, versi konsol generasi baharu hanya akan tiba pada tahun depan. Versi yang dilancarkan pada tahun ini adalah untuk PC, PS4, dan Xbox One.

Ramai pembaca semesti tertanya-tanya: “Bagaimana pula jika saya mempunyai PS5 atau Xbox One dan sudah membeli Cyberpunk 2077 versi PS4 dan Xbox Series?”

Pemilik PS5 dan Xbox Series yang membeli Cyberpunk 2077 sebelum pelancaran versi generasi baharu akan main dalam mod keserasian belakang (backwards compatibility). Ini bermaksud anda tidak menerima ciri-ciri grafik yang lebih canggih seperti pencahayaan ray-tracing dan permainan pada kadar bingkai tinggi.

Pada pendapat penulis, perkara ini bukan satu masalah besar. Hal ini demikian kerana stok PS5 yang rendah mengakibatkan ramai orang tidak dapat membeli konsol tersebut. Penulis yakin lebih banyak stok PS5 akan dikeluarkan pada tahun depan dan pemilik-pemilik baharu konsol tersebut boleh main versi Cyberpunk 2077 yang lebih cantik dan stabil tanpa perlu menunggu.