Honeyfruit versi dunia nyata? Pemain Wild Rift Thailand berpeluang rasa buah istimewa ini

By Hazril Md Nor | December 15, 2020

Sempena pelancaran permainan mudah alih Wild Rift di rantau ini, Riot Games Asia Tenggara baru-baru ini mencipta Honeyfruit versi dunia nyata yang boleh dimakan, sejenis tumbuhan memulihkan nyawa dalam permainan.

Ia adalah satu perisa baru yang sukar digambarkan namun luar biasa dan berjaya dicipta oleh Riot selari dengan dunia mistik Runeterra. Rasanya dikatakan berubah-ubah setiap masa dihasilkan dengan bahan-bahan terpilih dan penyediannya yang unik – pedas, bergas, manis, bercoklat dan herba semuanya dapat dirasai serentak.

Honeyfruit ini diperkenalkan di Thailand, pasaran utama untuk Wild Rift. Rakan penerbit, Jack Morton dan agensi pengiklanan BBH Singapura membantu melancarkan kempen ini.

Pemain di Thailand dijemput mencubanya di Bangkok dan ada yang sanggup beratur datang dari jauh untuk mencubanya. Pencipta kandungan juga menerima buah ini.

Hasil dari kempen ini, sebanyak 1.7 juta engagements dicatatkan di media sosial hanya dalam masa dua minggu. Ramai yang memuat naik video reaksi, ulasan, cabaran dan banyak lagi.

“Fokus utama Riot adalah untuk menjadi syarikat permainan video yang paling fokus kepada pemain di dunia dan kami percaya, acara seperti inilah yang memberikan pengalaman menghiburkan selain terus menjalin hubungan rapat dengan peminat kami,”

“Kami sentiasa mencari cara baru untuk menjalankan aktiviti yang tidak dapat dilupakan bersama peminat di seluruh Asia Tenggara dan kami harap peminat Thai menyukai rasa
Honeyfruit ini!,” kata Pengurus Besar Riot Games Asia Tenggara, Hong Kong, Taiwan dan Macau, Justin Hulog.

Foto: Appdisqus