ESKL bercadang anjur kempen kesedaran bayar cukai pendapatan dalam kalangan penggiat e-sukan

By Editorial team | December 17, 2020

Masih ramai yang tidak tahu atau memandang enteng tentang cukai pendapatan. Justeru itu, Persatuan Sukan Elektronik Kuala Lumpur (ESKL) bercadang mengadakan kempen kesedaran membayar cukai dalam kalangan penggiat e-sukan bermula tahun depan.

Kata Presidennya, Hisham Darus dalam satu sidang media petang tadi di Putrajaya, kempen ini akan menggalakkan penggiat e-sukan membayar cukai hasil hadiah wang kemenangan dan ini bagi mengelakkan daripada didenda atau dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara.

Atlet yang kerap menyertai kejohanan kebanyakannya tidak begitu terdedah dengan kepentingan cukai dalam pembangunan e-sukan negara.

“Jadi bermula 2021, ESKL akan menjalankan kejohanan serta aktiviti bersekali dengan kempen kesedaran membayar cukai dalam kalangan penggiat e-sukan untuk memberitahu atlet bahawa wang kemenangan yang diperoleh itu bukan milik mutlak mereka.

“Sebahagian daripada wang kemenangan perlu diserahkan kepada negara untuk kemajuan negara khususnya bagi menampung pembangunan e-sukan,” katanya.

Hisham juga berkata sehingga RM100 juta anggaran mampu diperoleh kerajaan sekiranya atlet e-sukan membayar cukai pendapatan ini.

Dalam satu posting di Facebook juga, ESKL akan mengadakan perjumpaan dengan LHDN dan Kementerian Kewangan untuk berbincang lanjut tentang kempen kesedaran ini.

Kata Hisham, persatuan menerima banyak keluhan dan aduat dari atlet-atlet ini sehingga ada yang disenarai hitam serta dibawa ke mahkamah untuk diisytiharkan muflis kerana gagal melunaskan cukai pendapatan masing-masing.

Sumber rujukan: BERNAMA

Foto: Esports Kuala Lumpur