Crash Bandicoot 4: It’s About Time versi PC, PS5, Xbox Series, dan Switch diumumkan

By Burhanudin Zamri | February 10, 2021

Activision telah mengumumkan bahawa Crash Bandicoot 4: It’s About Time akan dilancarkan untuk PlayStation 5 (PS5), Xbox Series, dan Nintendo Switch pada 12 Mac tahun ini. Sebuah versi PC juga akan dilancarkan melalui Battle.net pada tahun ini.

Permainan ini telah dilancarkan pada 2 Oktober tahun lepas untuk PlayStation 4 (PS4) dan Xbox One. Pemilik versi PS4 dan Xbox One boleh naik taraf ke versi konsol generasi kini dan memindahkan kemajuan secara percuma.

Versi PS5 dan Xbox Series X akan menonjolkan resolusi 4K asli dan kadar bingkai 60FPS. Untuk Xbox Series S, ia akan menggunakan teknologi upscaling untuk mencapai resolusi 4K. Semua versi generasi konsol terkini juga akan mempunyai waktu muatan yang lebih singkat dan audio 3D.

Kelebihan utama PS5 iaitu alat kawalan DualSense juga akan dimanfaatkan untuk meningkatkan impak aksi-aksi seperti penggunaan Hookshot Tawna dan banyak lagi.

Pra-penempahan untuk Crash Bandicoot 4: It’s About Time telah dibuka untuk Nintendo Switch pada harga AS$39.99 (~RM162). Menurut Activision, pra-penempahan untuk versi PS5 dan Xbox Series tidak akan disediakan. Versi untuk dua konsol tersebut akan dijual pada harga AS$59.99 (~RM243).

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.